Khamis, 22 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Mangsa hubungi biras malam kejadian pembunuhan

Posted: 21 Sep 2011 05:00 PM PDT

Mangsa hubungi biras malam kejadian pembunuhan

SHAH ALAM - Seorang biras kepada Noorhisham Mohamad, seorang mangsa dalam kes pembunuhan jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya, memberitahu Mahkamah Tinggi di sini hari ini bahawa mangsa telah menghubunginya pada malam pembunuhan itu.

Penolong Eksekutif Felda Palm Industry, Jefri Hamdan, berkata beliau berada di rumahnya ketika Noorhisham menghubunginya melalui telefon bimbit pada 10 malam 30 Ogos 2010.

Bagaimanapun, beliau hanya dapat bercakap "helo, helo, helo Hisham" namun tiada jawapan selepas itu.

Jefri, 40, memberi keterangan pada perbicaraan kes bekas peguam N.Pathmanabhan bersama tiga pekerja ladangnya, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan yang dituduh membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Pathmanabhan, 42, Thilaiyalagan, 20, Matan, 21, dan Kathavarayan, 31, didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No. 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara pukul 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Jefri, saksi pendakwaan ke-45, berkata ketika Noorhisham menghubunginya, beliau terdengar seperti bunyi angin dalam sebuah kereta yang sedang bergerak.

Beliau mempunyai hubungan kekeluargaan dengan Noorhisham kerana isterinya adalah adik kepada isteri Noorhisham, Suzana Radin Pangat, 39.

Jefri berkata beliau telah berjumpa dengan pegawai penyiasat ASP Ishak Mohd pada 3.10 petang 12 Sept tahun lepas untuk memberi keterangan berhubung kejadian pembunuhan itu selain mengenai butir-butir diri mangsa.

Ketika diminta oleh Timbalan Pendakwa Raya, Saiful Ederis Zainuddin untuk menceritakan apa yang berlaku, Jefri berkata beliau tidak menghubungi Noorhisham kembali dan Noorhisham tidak menghubunginya semula dan beliau menganggap mangsa tiada sebarang perkara penting untuk bercakap dengannya.

Jefri juga memberitahu mahkamah sewaktu beliau mengambil anak-anaknya yang berada di rumah Noorhisham, isteri mangsa mengatakan bahawa Noorhisham tiada di rumah kerana bekerja, dan untuk itu rancangan mereka untuk berbuka puasa bersama-sama terpaksa dibatalkan.

"Sepatutnya pada 31 Ogos tahun lalu, kami berbuka puasa di luar dengan membawa anak-anak saya dan anak-anaknya tetapi rancangan itu terpaksa dibatalkan," katanya.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir disambung esok. - Bernama

Saya tidak sabar untuk kembali berlumba - Azizulhasni

Posted: 21 Sep 2011 05:00 PM PDT

Saya tidak sabar untuk kembali berlumba - Azizulhasni

KUALA LUMPUR - Jaguh berbasikal trek negara Mohd Azizulhasni Awang kini bersedia untuk kembali beraksi dalam acara kegemarannya selepas berehat panjang akibat kecederaan betis kiri.

"Saya sebenarnya memang sudah tidak sabar untuk berlumba sebab sudah lama saya rehat. Bagaimanapun, sekarang ini saya perlu beri tumpuan kepada latihan terlebih dahulu.

"Saya kena tunggu Siri Piala Dunia yang pertama (selepas pulih dari kecederaan) untuk lihat sejauhmana prestasi saya setakat ini," katanya ketika ditemui pada perjumpaan Hari Raya Kayuhan Amal Tabung Leukemia Yayasan Sime Darby di sini, hari ini.

Mohd Azizulhasni, 23, sebelum ini menjalani rawatan pemulihan selama lima bulan di Institut Sukan Negara (ISN) ekoran kecederaan betis kirinya akibat tertusuk serpihan kayu sepanjang 20cm ketika bertanding acara keirin pada Siri Piala Dunia Klasik UCI di Manchester, England pada 19 Feb tahun ini.

Julai lepas, beliau kembali menyambung latihan dengan ketua jurulatih berbasikal kebangsaan John Beasley di Melbourne, Australia.

"Hasil daripada sesi latihan yang konsisten itu, saya rasa prestasi saya bertambah meningkat walaupun tidak secergas dulu. Saya perlu menjalani 'base training' yang agak panjang juga kerana saya memulakan latihan agak lewat daripada rakan-rakan yang lain akibat kecederaan.

"Masa di Australia, saya banyak buat conditioning di gimnasium, buat kayuhan jarak jauh dan kini baru memulakan latihan di trek," kata Olahragawan Kebangsaan 2010 itu.

Sebagai usaha untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik London 2012, beliau akan menyertai empat Siri Berbasikal Trek Piala Dunia UCI dan Kejohanan Dunia Berbasikal Trek UCI 2012 di Melbourne, Australia pada 4 hingga 8 April depan.

Keupayaan Mohd Azizulhasni akan mula diuji pada Siri Berbasikal Trek Piala Dunia UCI di Astana, Kazakhstan pada 4 hingga 6 Nov ini diikuti dengan siri yang sama di Cali, Colombia (1-3 Dis), Beijing, China (20-22 Jan) dan London, England (17-19 Feb).

Katanya penyertaan pertama di Astana itu akan digunakan untuk mengenalpasti kekurangan dari segi prestasi dan mutu persembahan.

"Saya tidak letak apa-apa sasaran pada Kejohanan Piala Dunia di Astana. Dari situ, kami (Azizulhasni dan jurulatih) akan perbaiki kekurangan untuk siri Kejohanan Piala Dunia yang berikutnya dan juga Kejohanan Berbasikal Dunia," kata pelumba yang berasal dari Dungun, Terengganu itu.

Mohd Azizulhasni dan beberapa pelumba elit yang lain kini berada di ibu negara untuk menyertai Kayuhan Amal Tabung Leukemia Yayasan Sime Darby yang akan berlangsung Sabtu ini di Dataran Putrajaya.

Selain pelumba elit trek dan lebuh raya, kayuhan amal itu turut disertai pelumba pelapis, kelab berbasikal, badan kerajaan, korporat dan individu.

Mereka yang berminat menyertai kayuhan amal itu boleh melayari www.yayasansimedarby.com untuk memuat turun borang penyertaan dan setiap penyertaan dikenakan yuran RM50, yang akan disalurkan kepada Tabung Leukemia Yayasan Sime Darby untuk membantu pesakit yang memerlukan.

Peserta boleh memilih jarak kayuhan yang mereka ingin sertai iaitu 3.3km, 7.7km, 38.5km atau 100.5km yang melibatkan laluan di beberapa pekan kecil dalam daerah Sepang, Nilai dan Putrajaya. - Bernama

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved