Selasa, 20 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


LPF dan FINAS perlukan Panel Syariah yang aktif

Posted: 19 Sep 2011 05:00 PM PDT

LPF dan FINAS perlukan Panel Syariah yang aktif

Sungguh menyedihkan! Ramai pihak sangat kesal dengan kelemahan ketara yang berlaku dalam Lembaga Penapisan Filem (LPF) di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan juga Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK) sehingga membenarkan filem-filem yang berbaur penghinaan kepada Islam diterbitkan untuk tontotan umum.

Filem terbaru yang mengandungi unsur menghina Islam adalah "Hantu Bonceng" yang diarahkan oleh Ahmad Idham Ahmad Nazri dengan lakonan oleh Mohd Razizan Abd Razak [Zizan RL]. Salah satu babak yang dilakonkan secara jelas menghina Rasulullah SAW apabila Zizan menyebut "Asyhadu anna Muhammadar Syaitan" yang membawa maksud "Aku naik saksi bahawa Muhammad itu Syaitan".

Kalimah syahadah bukan perkataan yang boleh dijenakakan atau dipersenda sedemikian rupa justeru ia membawa kesan yang boleh menggugurkan syahadah walaupun ia sekadar lakonan. Sementelah pula filem yang menjadi tontonan umum ini akan mencetus kekeliruan dan gambaran yang salah masyarakat terhadap Islam. Lebih berisiko apabila kelak ia turut merosakkan aqidah masyarakat awam.

Dewan Pemuda Pas turut mempersoalkan, sekiranya benar wujud panel penapisan di dalam LPF ataupun diperingkat FINAS sendiri mengenai filem-filem yang bakal ditayangkan untuk tontonan umum mengapa masih wujud babak yang menimbulkan kontroversi ini?.

Apa yang ditapis selama ini? Penapis apa yang mereka pakai? Ssehingga masih banyak adegan yang "menyenakkan mata" dan mengganggu sensitiviti masyarakat, lolos menjadi paparan umum melalui filem yang telah diluluskan.

Lebih malang, pihak berkuasa agama seperti kaku dan kelu tidak tahu berbuat apa -apa meskipun berdepan dengan isu penghinaan terhadap Islam. Sedih sungguhnkami dibuatnya. Apalah erti dan makna pihak berkuasa agama?.

Sebelum ini, JAKIM seperti tiada kuasa dan tiada apa yang boleh dilakukan malah untuk menerima memorundum pun tidak berkeupayaan apabila tercetus isu penghinaan terhadap Islam dan syariatnya oleh Mak Cik Hajjah Sitt Al Wuzara.

Lambakan filem tahyul dan karut menerusi tontonan umum di kaca televisyen samaada melalui chanel RTM ataupun chanel swasta seperti Astro terus bermaharajalela tanpa sebarang tindakan berkesan oleh pihak berkuasa agama.

Apa sudah jadi? Apakah pihak berkuasa agama tidak menyedari perkara ini ? jika orang awam pun menyedari berlakunya perkara ini, bagaimana pihak berkuasa agama masih tidak menyedarinya ?

Kerajaan juga selayaknya serius melihat perkara ini. Jangan biarkan filem menjadi medium untuk menghina, mempersenda dan memperkecilkan Islam di dalam negara ini. Sebelum ini, peka benar kerajaan terhadap isu Kalimah Allah, Isu Gereja dan isu komunis yang tidak wujud.

Kenapa dalam perkara ini pihak kerajaan dan jabatan Agama kelihatan seperti "mati pucuk" ? tidak tahu dan tidak berupaya bertindak selayaknya.

Dewan Pemuda Pas sangat khuatir sekiranya tidak ada satu garis pandu yang berlandaskan Syariat Islam menjadi rujukan kepada LPF dan FINAS, filem-filem yang lebih "luar biasa" akan dihasilkan dan mungkin diluluskan kerana keuntungan yang bakal diperolehi oleh pihak-pihak tertentu tanpa menimbang tara impak yang akan berlaku.

Bukan sahaja kepada filem tempatan yang semakin hari semakin memperlihatkan kepada umum bagaimana hilangnya nilai seni, moral, adab serta adat ketimuran tetapi juga kepada filem luar [asing] yang mengundang kepada keruntuhan moral, akhlak, pemikiran dan budaya masyarakat kita.

Justeru, Dewan Pemuda Pas meminta pihak FINAS mahupun LPF untuk mewujudkan panel syariah yang berauthoriti sebagai lembaga penapisan yang tertinggi terutama dalam menapis cerita atau filem yang mempunyai kaitan dengan agama Islam.

Selain itu, Dewan Pemuda Pas juga menyeru kepada mereka yang terlibat secara lansung di dalam industri ini seperti penerbit, pelakon dan penyiar untuk merujuk kepada alim ulamak seperti mufti atau pihak berkuasa Agama seperti Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (JAKIM) terlebih dahulu sebelum menerbitkan sesebuah filem.

Jangan apabila sudah wujudnya kontroversi baru mencari ulamak untuk melepaskan diri.

Dewan Pemuda Pas juga menyeru kepada para artis untuk meneliti dan membuat kajian terlebih dahulu mengenai skrip yang bakal dilakonkan oleh mereka. Sekiranya skrip tersebut mengandungi unsur-unsur yang dirasakan bertentangan dengan fitrah dan juga berpotensi untuk mencemarkan kemuliaan Islam maka bertanyalah kepada para ulamak.

Perkara ini juga mesti dilakukan oleh pihak penerbit, pengarah mahupun pelakon agar tidak mewujudkan suasana kontroversi seperti ini.

Semoga industri filem negara terus maju dan berkembang ke serata dunia dengan membawa imej negara yang baik dan gemilang tanpa perlu mencetus elemen lucah, persendaan terhadap agama, tahyul dan perlecehan akhlak semata - mata untuk dijadikan tangkal pelaris filem di bioskop antarabangsa.

Nasrudin bin Hassan
Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.

Akta yang gantikan ISA akan lebih kejam?

Posted: 19 Sep 2011 05:00 PM PDT

Akta yang gantikan ISA akan lebih kejam?

Jabatan Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia (JUHAM) Dewan Pemuda Pas Malaysia menyambut baik langkah Perdana Menteri untuk memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 ("ISA").

Langkah tersebut mendapat pujian semua pihak khususnya parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan. Tetapi masih timbul tanda tanya kerana pemansuhan ISA itu bukanlah pemansuhan mutlak tanpa bersyarat malah berikutan pemansuhan itu, Kerajaan bakal memperkenalkan dua lagi akta baru bagi menggantikan ISA tersebut.

Menteri Dalam Negeri pula mendedahkan bahawa dua akta baru yang akan diperkenalkan oleh Kerajaan tersebut adalah berasaskan kepada Patriot Act di Amerika Syarikat dan Anti-Terrorism Act di United Kingdom.

USA Patriot Act atau lebih dikenali sebagai Patriot Act adalah singkatan kepada Uniting (and) Strengthening America (by) Providing Appropriate Tools Required (to) Intercept (and) Obstruct Terrorism Act of 2001 dan telah diperkenalkan oleh Presiden George W. Bush pada 6 Oktober 2001. Akta ini diperkenalkan selepas Amerika mengalami serangan September 11, 2001.

Akta ini telah memberikan lebih kuasa kepada agensi penguatkuasa undang-undang untuk menyiasat rekod panggilan telefon, emel, perubatan, kewangan dan mengurangkan halangan undang-undang kepada agensi berkenaan untuk menjalankan aktiviti risikan khususnya ke atas warga dan entiti asing.

Akta ini juga meluaskan kuasa agensi itu berkaitan budi bicara menahan atau menghantar pulang mana-mana warga asing yang menjadi suspek dalam aktiviti keganasan.

Perlaksanaan akta ini telah mendapat tentangan daripada badan hak asasi manusia kerana sifat akta ini yang zalim khususnya penahanan tanpa had masa ke atas suspek, kuasa menggeledah sesebuah premis tanpa kehadiran atau pengetahuan pemilik dan kuasa untuk memintas komunikasi telefon, emel atau rekod kewangan tanpa waran mahkamah.

Harus dinyatakan di sini bahawa Mahkamah Persekutuan telah beberapa kali membuat keputusan bahawa tindakan yang dibuat oleh agensi berkenaan adalah salah dan bercanggah dengan perlembagaan.

Di United Kingdom, langkah yang sama telah diambil oleh Kerajaan kira-kira dua bulan selepas serangan September 11, 2001, Kerajaan telah memperkenalkan Anti-Terrorism, Crime and Security Act 2001. Ciri penting akta ini adalah kuasa untuk menahan warga asing yang menjadi suspek dalang pengganas untuk ditahan tanpa bicara tanpa had masa.

Namun, suspek itu boleh dibebaskan dengan syarat beliau meninggalkan United Kingdom. Pihak Kerajaan mendakwa bahawa kebanyakan bukti yang ada ke atas suspek ini tidak dapat digunakan di mahkamah kerana factor-faktor keselamatan.

JUHAM menegaskan bahawa penggunaan akta ini telah dicabar di Mahkamah dan House of Lords pernah memutuskan bahawa penahanan suspek tanpa bicara adalah bertentangan dengan Human Rights Act 1998 kerana bersifat diskriminasi memandangkan akta ini membezakan tindakan ke atas warga asing dan warga UK sendiri.

Oleh itu, Kerajaan telah memperkenalkan satu akta baru iaitu, Prevention of Terrorism Act 2005 bagi meremedikan masalah diskriminasi itu. Di bawah akta baru ini, tiada perbezaan antara tahanan warga asing atau warga tempatan. Namun, akta baru ini juga tidak sunyi daripada dicabar di mahkamah.

Umpamanya, pada tahun 2006 penggunaan akta baru ini juga telah dicabar di mahkamah dan mahkamah telah memutuskan bahawa peruntukan seksyen 3 akta baru ini bertentangan dengan hak untuk mendapatkan perbicaraan yang adil di bawah Art. 6 European Convention on Human Rights.

Ini kerana hak orang yang ditahan ini bukan ditentukan oleh sebuah mahkamah yang bebas tetapi di bawah keputusan pihak eksekutif, yang mempunyai kuasa melebihi kuasa pemutus mahkamah.
Walaupun sebahagian keputusan ini akhirnya diubah oleh Mahkamah Rayuan namun hakikatnya perlaksanaan akta ini telah diimbangi dengan kewujudan Human Rights Act 1998.

Human Rights Act 1998 adalah sebuah akta yang sangat berkuasa kerana akta ini menjadikan sesuatu tindakan sebuah badan awam sebagai tidak sah jika tindakan tersebut bertentangan dengan European Convention of Human Rights. Malah, jika pihak litigan tidak berpuas hati, mereka masih boleh membawa kes mereka ke mahkamah hak asasi di Strasbourg.

Sungguhpun langkah Perdana Menteri yang ingin memansuhkan ISA adalah dialu-alukan, namun, pengumuman Kerajaan untuk menggantikan ISA ini dengan dua model iaitu Patriot Act di USA dan Anti-Terrorism Act di UK adalah sangat tidak tepat.

Seharusnya Kerajaan tidak meniru akta yang dilaksanakan di USA dan UK itu kerana ternyata keadaan di negara tersebut tidak sama dengan di Malaysia. Jika Kerajaan ingin juga meniru kedua-dua akta tersebut seharusnya Kerajaan juga mesti memperkenalkan undang-undang yang boleh mengimbangi sifat arbitrari kedua-dua akta itu dengan prinsip-prinsip hak asasi manusia sejagat.

Sekiranya, prinsip hak asasi tidak diperkukuhkan maka tiada guna ISA itu dihapuskan dan digantikan dengan dua akta baru yang lebih menekan dan bersifat opresif, ibarat pepatah Melayu "Keluar mulut buaya, masuk mulut singa".

Di samping itu, sayugia juga dimaklumkan bahawa beberapa pindaan telahpun dibuat ke atas Kanun Kesiksaan dan beberapa akta lain berhubung dengan kesalahan berkaitan terorisme ini.

Sehubungan dengan ini juga, JUHAM berpandangan adalah wajar kerajaan mempelajari falsafah perundangan Islam yang tidak membenarkan kebebasan seseorang itu disekat melainkan dengan bukti yang nyata.

Penahanan seseorang tanpa bicara adalah zalim dan telah terbukti semenjak beberapa dekad bahawa ISA telah digunakan untuk menahan tahanan semata-mata kerana perbezaan fahaman politik.

Penahanan atas dasar perbezaan politik adalah amat kejam dan melainkan terdapat unsur-unsur terorisme dalam perjuangan politik itu maka barulah tindakan penahanan dan pendakwaan patut dibuat.

Selagi penyebaran fahaman politik itu masih dalam batasan demokrasi, tidak seharusnya kerajaan berasa terancam. Semoga demokrasi terus subur di Malaysia.

Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi
Pengarah
Jabatan Undang-Undang Dan Hak Asasi Manusia (JUHAM)
Dewan Pemuda Pas Malaysia

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved