Isnin, 12 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Sindrom ghairah mahu jadi pakar

Posted: 11 Sep 2011 05:00 PM PDT

Kini semakin ramai mahu menjadi pakar walaupun bukan bidangnya. Semua mahu bercakap, masing-masing terlalu ghairah mengambil kesempatan, mabuk kuasa dan politik terdesak hari ini. Mereka berselindung atas nama Islam, pertubuhan Melayu, pertubuhan ibu bapa dan macam-macam badan lagi. Sekumpulan mahukan Pembelajaran Pengajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) diteruskan. Sekumpulan lagi mahu komunis diberikan pengiktirafan.

Sebuah pertubuhan, kononnya mewakili ibu bapa membuat kenyataan bahawa majoriti ibu bapa menyokong PPSMI. Tertanya-tanya pula kita, siapakah ibu bapa tersebut? Sejauh manakah kesahihan dan kebolehpercayaan kajian digunakan berbanding dengan kajian akademik sebelum ini. Malang sekali, penemuan para akademia tidak dibincangkan berbanding pertubuhan picisan ini.

Pertubuhan ini meminta untuk bertemu dengan Kabinet supaya mengembalikan semula PPSMI. Mereka mendakwa ada bukti dan mendapat sokongan lebih 90 peratus ibu bapa berhubung perkara ini.

Seingat saya, hampir 100 NGO Melayu tidak bersetuju telah tampil secara agresif menentang. Ini tidak termasuk NGO Cina yang menentang sejak awal lagi. Jawatankuasa Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) itu sendiri terdiri daripada profesor-profesor dalam bidang masing-masing, dari awal lagi menentang berserta bukti-bukti kajian. Tanyalah Profesor Abdullah Hassan, Profesor Awang Sariyan, Profesor Nik Safiah Karim dan ramai lagi.

Ini belum termasuk pandangan pakar sains lain seperti Profesor Shahril M Zain (Pakar Sains Matematik), Profesor Tan Sri Zulkifli Razak (Pakar Perubatan), Profesor Yusof Othman (Pakar Fizik) dan ramai lagi.

Nasihat saya, jika ingin mendapatkan pendapat dan suara pakar Melayu, sepatutnya kerajaan mendengar dan merujuk kepada cendekiawan dan barisan NGO Melayu seperti Persatuan Akademik IPTA, Teras Pengupayaan Melayu (Teras), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Jemaah Islah Malaysia (JIM), Persatuan Ulamak Malaysia (PUM), Majlis Permuafakatan Ibu bapa Malaysia (MAPIM) dan banyak lagi. Kenapa kita begitu terpukul dengan sebuah pertubuhan kerdil yang disebut sebagai Page. Siapakah mereka? Apa kepakarannya?

Tidak payahlah menggunakan gelaran datin untuk mencari pengaruh. Hina sangat rasanya. Gelaran datin adalah tumpangan gelaran datuk yang diperoleh suami. Jika benar-benar berani mari kita berdebat dengan para akademia secara akademik.

Negara kita teramat sedih kehilangan seorang pejuang bahasa, Datuk Dr Hasan Ahmad yang kembali ke rahmatullah baru-baru ini. Ketika Allahyarham masih hidup, perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu tidak pernah luntur sehinggalah kerajaan bertindak memansuhkan PPSMI dan menggantikannya dengan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Mengukuhkan Bahasa Inggeris (MBMMBI). Kita amat mengharapkan kementerian pelajaran akan bertegas dengan pendiriannya.

Persoalan pokok adalah isu penguasaan bahasa, bukan isu Sains dan Matematik. Jika bahasa lemah, yang harus diperhebat ialah kaedah pembelajaran dan pengajaran bahasa, bukan mengubah sistem.

Saya amat terusik dengan pesanan akhir Dr Hassan, kerajaan akan jatuh jika tidak mendengar suara ilmuwan - mereka yang pakar dalam bidang masing-masing, jujur dengan ilmu dan bertindak berpaksikan Quran dan Sunnah serta Perlembagaan negara. Sama juga isu yang menganggap komunis ini sebagai pejuang. Bacalah dahulu sejarah komunis dari awal hingga akhir daripada pelbagai sumber. Jangan hanya membaca satu sumber atau sebelah pihak sahaja, barulah boleh memberikan pandangan.

Saya sempat membaca buku berkaitan perjuangan komunis oleh Rashid Maidin, Tunku Abdul Rahman, Hanrahan, Purcell dan Thompson. Saya tidak nafikan sumbangan komunis memang ada, tetapi tidaklah boleh meletakkan mereka setaraf pejuang kemerdekaan. Perjuangan komunis amat jauh berbeza dengan perjuangan Tok Janggut dan Dato Maharaja Lela menentang penjajah British. Pejuang-pejuang Melayu hanya mahu menghalau penjajah, berbanding komunis yang mahu menguasai Malaya melalui teori dominonya.

Adalah tidak rasional menolak kebaikan seorang, hanya kerana mungkin dia musuh atau tidak bersefahaman dengan kita. Dalam kes Mat Indera, beliau seorang pejuang, cuma platformnya salah kerana bersama komunis. Perlu diingat, walaupun komunis berjaya dihapuskan, masih ada lagi menyanjung Bintang Tiga (MPAJA), Chin Peng, Rashid Maidin, Abdullah CD, dan sebagainya. Tindakan membina tugu MPAJA menunjukkan perjuangan komunis masih lagi bertapak di negara ini.

Sabah, Sarawak yang istimewa

Posted: 11 Sep 2011 05:00 PM PDT

Minggu ini, kita akan menyambut ulang tahun Hari Malaysia. 16 September 1963, tarikh keramat terbentuknya negara yang dinamakan Malaysia. Pada hari tersebut, Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan Singapura bergabung membentuk Persekutuan Malaysia.

Sarawak diperintah dinasti Rajah Sir James Brooke selama lebih 100 tahun manakala Sabah diperintah Sultan Sulu dan Syarikat Berpiagam Borneo Utara British sebelum kedua-dua negeri tersebut menjadi koloni Empayar British selepas Perang Dunia Kedua.

Apabila Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 1957, penduduk Sabah dan Sarawak mula berbincang tentang kemerdekaan negeri-negeri mereka. Persoalan tentang Sabah dan Sarawak membentuk persekutuan dengan negara lain menjurus kepada penubuhan Suruhanjaya yang diketuai Lord Cobbold untuk mengetahui kehendak penduduk Sabah dan Sarawak.

Pada Julai 1963, "Perjanjian Malaysia" ditandatangani di London di antara Kerajaan-kerajaan British dan Tanah Melayu, Sarawak, Sabah dan pihak-pihak lain (termasuk Singapura) untuk membentuk Malaysia, dan perjanjian tersebut termasuk kepentingan dan perlindungan istimewa untuk Sabah dan Sarawak yang disyorkan Jawatankuasa Antara Kerajaan.

Parlimen Tanah Melayu kemudian membuat perubahan kepada Perlembagaan tahun 1957 untuk menjadikannya Perlembagaan Persekutuan untuk Malaysia, dan perlindungan istimewa untuk Sabah dan Sarawak dimasukkan ke dalam Perlembagaan. Pada 16 September 1963, lahirlah Malaysia.

Kedudukan Sabah dan Sarawak berlainan sedikit dengan negeri-negeri lain. Seperti dinyatakan, terdapat beberapa kepentingan dan perlindungan istimewa yang unik untuk mereka. Secara amnya, kepentingan dan perlindungan istimewa ini tidak boleh dipinda atau dimansuhkan tanpa mendapat sokongan dua pertiga ahli-ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara berserta kebenaran Yang di-Pertuan Negeri negeri-negeri tersebut.

Apakah perlindungan dan kepentingan istimewa tersebut? Antara lain, Sabah dan Sarawak boleh mengawal kemasukan dan kemastautinan mereka yang masuk ke dalam negeri-negeri tersebut. Oleh sebab itu, warganegara Malaysia yang bukan berasal dari Sabah dan Sarawak harus melalui imigresen terlebih dahulu. Di samping itu, dari segi profesion guaman, hanya peguam yang bermastautin di Sabah dan Sarawak atau telah memenuhi kelayakan boleh mengamalkan undang-undang di Sabah dan Sarawak. Jadi, apabila kita berkata tentang 'Badan Peguam Malaysia' (Malaysian Bar), kita hanya merujuk kepada peguam-peguam di Semenanjung Malaysia. Di Sabah, persatuan peguamnya adalah Sabah Law Association (SLA) dan di Sarawak pula Advoates' Association of Sarawak (AAS).

Sabah dan Sarawak juga mempunyai Mahkamah Tinggi yang ada bidang kuasa berasingan dinamakan Mahkamah Tinggi Sabah dan Sarawak.

Sabah dan Sarawak juga mempunyai sumber pendapatan dan pemberian kewangan khas daripada Kerajaan Persekutuan dan juga mereka boleh mengenakan cukai jualan sendiri. Contohnya, Kerajaan Persekutuan memberikan pemberian khas tahunan kepada Sabah dan Sarawak untuk kos perkhidmatan dan pengurusan negeri-negeri tersebut. Mereka juga menerima pendapatan dari tanah, lombong dan hutan, duti hiburan, yuran untuk perkhidmatan spesifik yang diberikan jabatan-jabatan negeri, pendapatan daripada pihak berkuasa tempatan dan bekalan air. Di samping itu, Sabah dan Sarawak juga boleh mengenakan duti import dan eksais ke atas keluaran petroleum, duti eksport ke atas balak dan hasil hutan lain, cukai jualan dan yuran daripada pelabuhan.

Anak negeri Sabah dan Sarawak mempunyai kedudukan istimewa melalui Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan. Bukan hanya orang Melayu sahaja.

Ini hanyalah sebahagian daripada perlindungan dan kepentingan istimewa Sabah dan Sarawak. Tidak ramai mengetahui wujudnya perlindungan dan kepentingan istimewa tersebut dan status kedua-dua negeri Sabah dan Sarawak dalam Perlembagaan berbanding negeri-negeri lain.

* Penulis ialah seorang peguam muda dan rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur. Rencana ini menggunakan maklumat daripada Buku Panduan Rakyat 7 berkenaan dengan Sabah dan Sarawak, hasil inisiatif Kempen MyConstitution.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved