Jumaat, 16 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Najib disaran lepas jawatan

Posted: 15 Sep 2011 05:00 PM PDT

Najib disaran lepas jawatan PETALING JAYA - Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak disarankan menyerahkan portfolio Kementerian Kewangan yang dipegangnya kepada orang lain kerana kegagalan rancangan transformasi ekonomi negara.

Pengerusi Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan Rakyat (PR), Dr Dzulkefly Ahmad berkata, tugas sebagai Perdana Menteri sudah cukup membebankan untuk beliau yang terus memegang jawatan Menteri Kewangan.

"Jawatan perlu diserahkan kepada individu lain yang berkebolehan memandangkan Kementerian Kewangan gagal dalam melaksanakan agenda reformasi mengangkat keluar ekonomi negara dari 'perangkap' negara berpendapatan pertengahan melalui Model Ekonomi Baru," katanya pada sidang media, semalam.

Jawatankuasa Bajet Alternatif Pakatan diketuai oleh Dzulkefly dan antara ahlinya termasuk Ahli Parlimen Bukit Bendera dari DAP, Liew Chin Tong, Ahli Parlimen Subang dari PKR, R Sivarasa dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar.

Menurut Dzulkefly, amat janggal bagi seorang Perdana Menteri menjadi Menteri Kewangan dalam mana-mana negara dan ia menyimpang jauh daripada prinsip tadbir urus yang baik.

"Sekiranya menggunakan analogi korporat, tidak pernah seorang Ketua Pegawai Eksekutif tersebut menjadi Ketua Pegawai Kewangan," katanya.

Sementara itu Sivarasa berkata, PR mencadangkan Najib mencontohi jejak mereka jika beliau benar-benar serius.

"Jika PM mahu membuat perubahaan bermakna bagi rakyat Malaysia, beliau sepatutnya menerima cadangan kami," katanya.

Sivarasa berkata, pembaharuan bermakna adalah memansuhkan terus undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negara, Ordinan Darurat dan Akta Dadah Berbahaya.

"Jika setakat pindaan, pembaharuan itu tidak bermakna dan tidak dapat diterima," katanya.

Laporan terhadap polis ke Kabinet

Posted: 15 Sep 2011 05:00 PM PDT

Laporan terhadap polis ke Kabinet

IPOH - Laporan penuh berkaitan pelbagai tuduhan terhadap polis semasa perhimpunan haram Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil di ibu negara pada 9 Julai lepas akan dikemukakan kepada Kabinet minggu depan.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar memberi taklimat kepada beliau mengenai laporan itu baru-baru ini.

"Saya diberi taklimat oleh Ketua Polis Negara dan beliau menyatakan had dan perimeter siasatan yang dilakukan," katanya selepas menghadiri jamuan Aidilfitri anjuran Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Mes Pegawai di sini semalam.

Hishammuddin berkata, beliau akan meminta Kabinet membuat keputusan supaya laporan itu diumumkan kerana pihaknya tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan.

Semalam, Ismail menyatakan laporan yang dikemukakan itu hasil siasatan yang dilakukan oleh enam jawatankuasa yang dibentuk dan beliau berpuas hati dengannya.

Ibu Pejabat Polis Bukit Aman telah menubuhkan jawatankuasa khas menyiasat, enam tuduhan terhadap pasukan polis yang kononnya bertindak ganas semasa perhimpunan haram itu. - Bernama

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved