Rabu, 28 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Lanjut reman tiga pegawai

Posted: 27 Sep 2011 05:00 PM PDT

Lanjut reman tiga pegawai KUALA LUMPUR – Tiga pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang ditahan polis, disyaki terlibat dalam kes samun pengurup wang, 15 September lalu, dilanjutkan reman tiga hari, bermula semalam, untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, pihaknya kini dalam proses untuk melengkapkan siasatan sebelum diserahkan kepada pihak Peguam Negara untuk tindakan selanjutnya.

Menurutnya, sebahagian daripada wang terbabit sudah dijumpai, bagaimanapun beliau enggan mengulas lanjut mengenainya.

"Susulan tangkapan itu, kita dapat sejumlah wang terbabit, tetapi tidak boleh dedahkan kerana siasatan lanjut sedang dijalankan," katanya ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPPK) Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Abu Bakar dan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Mohmad Salleh.

Ismail berkata, polis masih memburu dua lagi lelaki; T Sritharan, 32 dan D Nagarajan, 34, bagi membantu siasatan kes berkenaan. Fotofit mereka sudah diedarkan Jumaat lalu.

"Tak perlu tahu sama ada mereka berada di dalam atau luar negara. Memang tugas kita untuk kesan mereka," katanya.

Dalam kejadian samun di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu, seorang pengurup wang warga asing mendakwa wang bernilai AS$300,000 (RM900,000) disamun tiga lelaki menggunakan nama sebuah agensi penguatkuasaan.

Tujuh terapung 19 jam di lautan

Posted: 27 Sep 2011 05:00 PM PDT

Tujuh terapung 19 jam di lautan JOHOR BAHRU – Berpantang maut sebelum ajal.

Tujuh kaki pancing, termasuk seorang tekong dan awak-awak, terpaksa mengharungi detik getir terapung hampir 19 jam di lautan, apabila bot kayu dinaiki sembilan orang karam akibat dilanggar kapal tangki

Dua lagi masih hilang dalam kejadian jam 10 malam Sabtu lalu, di kedudukan 40 batu nautika dari perairan Pulau Aur, Mersing.

Ketua Penguat kuasa Maritim Wilayah Selatan, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama Maritim Zulkifli Abu Bakar berkata, bot dinaiki tujuh warga Singapura bersama seorang tekong dan awak-awak warga tempatan dipercayai keluar memancing dari Jeti Tanjung Sedili jam 9 pagi 23 September.

"Bot kelas A berkapasiti maksimum 13 penumpang itu dikatakan disewa selama tiga hari, dipercayai dilanggar kapal tangki menyebabkan mereka tercampak ke laut.

"Tekong bot berusaha mengumpulkan kesemua penumpang dan mendapati salah seorang daripada mereka hilang. Mangsa hilang dikatakan sedang tidur di belakang bot tersebut, manakala yang lain sedang leka memancing," katanya, semalam.

Tujuh daripada sembilan mangsa diselamatkan oleh sebuah bot nelayan lain pada 25 September jam 5.45 petang di kedudukan 11.5 batu nautika dari Timur Pulau Aur.

"Mereka terapung hampir 19 jam sebelum diselamatkan dan sepanjang waktu itu dimaklumkan mereka berkongsi air mineral 500 milimeter (ml) dan tiga biji epal serta gula getah bagi mengalas perut.

"Dua daripada mereka berenang mendapatkan bantuan, namun salah seorang iaitu tekong tersebut telah berpatah balik apabila kaki kekejangan dan seorang lagi terus hilang tanpa dikesan," katanya.

Mangsa terselamat ialah tekong, Roslan Husin, 29; awak-awak, Zainal Jol, 39; dan warga Singapura, Sim Hong Heng, 40; Goh Kian Seng, 45; Lim Kim Huat, 39; Pang Way Sang,38 dan Pan Poh Loh,42. Manakala mangsa yang hilang ialah Tan Ah Juan, 55, dan Peck Zhi Yi Keith, 31.

Zulkifli berkata, kesemua warga Singapura terselamat tidak mengalami kecederaan dan diserahkan kepada wakil kedutaan negara itu, kelmarin.

Sementara itu, APMM Wilayah Selatan, telah mengaktifkan Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) sejak jam 2 petang, 25 September lalu selepas mendapat maklumat dari anggota bot APMM yang berada di Pulau Aur.

Beliau berkata, usaha mengesan kapal tangki yang didakwa melanggar bot kayu tersebut sukar dikesan berikutan maklumat kurang jelas daripada mangsa.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved