Selasa, 27 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Jangan main-main pasal hudud!

Posted: 26 Sep 2011 05:00 PM PDT

Hudud bukan undang-undang yang digubal di Dewan Rakyat dikuasai Barisan Nasional (BN) ataupun Dewan Undangan Negeri yang dikuasai Pakatan Rakyat (PR).

Hudud juga bukan isu politik biasa, yang boleh dihujah secara sambil lewa. Ia juga bukan semata-mata isu yang hanya menyentuh hati manusia seperti kisah Mat Indera.

Bercakap mengenai hudud, ertinya perlu bersiap sedia untuk memperkatakan sesuatu yang berkaitan dengan hukum tuhan. Ertinya ketika berkata-kata, perlu diingat akan neraka! Namun apabila isu hudud dijadikan bahan politik, yang bercakap mengenainya pula orang politik, ada yang terlupa. Mereka membahaskannya hanya seperti bergosip mengenai Altantuya.

Namun, polemik mengenai hudud setidak-tidaknya telah memperlihatkan betapa Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sebenarnya adalah seorang ahli politik yang licik dan penuh taktik. Beliau melontarkan isu itu ke tengah gelanggang yang sedang panas dengan polemik mengenai Mat Sabu, setelah isu hudud agak sepi sekian lama.

Lontaran Nik Aziz disambut bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin dengan kenyataan membela, Kerajaan Kelantan tidak boleh dipersalahkan kerana tidak melaksanakan hudud setelah 21 tahun memerintah kerana kekangan yang dihadapi bukan mudah untuk diatasi.

Menyusul selepas itu ialah provokasi Tun Dr Mahathir Mohamad yang mempersoalkan, mengapa Kelantan masih tidak laksanakan hudud sedangkan beliau - yang jadi halangan selama ini - sudah tidak lagi jadi perdana menteri.

Sekutu rapat Nik Aziz, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menyatakan sokongan supaya hudud dilaksanakan.

Nik Aziz kemudian berkata, jika DAP tidak setuju Pas laksanakan hudud, parti itu boleh 'blah' daripada PR.

Pengerusi DAP, Karpal Singh yang dua dekad lalu pernah menyatakan, Pas boleh langkah mayatnya dahulu jika mahu tubuhkan negara Islam, bingkas dengan kenyataan, DAP tetap menentang hudud dan negara Islam. Turut senada, Lim Guan Eng.

Karpal turut mengecam Nik Aziz yang disifatkan 'lelaki tua yang mahukan perhatian'. Di seberang sana, apa yang berlaku dalam BN, juga tidak kurang panasnya.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika diminta mengulas isu itu mengakui, sebagai orang Islam, ahli Umno wajib menyokong hudud namun buat masa ini, Kerajaan Pusat masih belum bersedia untuk melaksanakannya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pun secara berterus terang menyatakan, hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini atas sebab, pelaksanaan sesuatu undang-undang perlu berpaksikan realiti. Makanya, hudud dianggap tidak menepati realiti masyarakat majmuk agama di negara kita.

Kenyataan Najib, seperti yang diakuinya, bersandarkan rujukan kepada ulama yang menyatakan prinsip 'maqasid syariah' yang berteraskan matlamat untuk melindungi nyawa, ekonomi, keharmonian dan sebagainya perlu lebih diutamakan berbanding undang-undang jenayah (hudud).

Setakat ini, perang hujah yang bersandar kepentingan masing-masing, terus berlaku dalam BN mahupun PR. Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, terang-terangan memberi 'taklik' kepada Umno bahawa talak akan jatuh jika parti itu mahu melaksanakan hudud.

Alangkah janggalnya amaran itu kerana tidak pernah terbit pun kenyataan mana-mana pemimpin Umno bahawa parti itu mahu melaksanakan hudud. Gerakan yang selama ini seperti tidak bergerak, pun juga melaung amaran sama.

Sikap yang diperlihatkan oleh dua parti bukan Melayu (meskipun Gerakan pada dasarnya adalah parti pelbagai kaum) dalam BN itu cukup untuk menunjukkan bahawa Umno belum bersedia untuk melaksanakan hudud sebagaimana yang dinyatakan Muhyiddin dan kesimpulannya, seperti yang disebut oleh Najib, hudud tidak akan dilaksanakan di negara ini.

Ini jelas daripada nada terkejut dan reaksi keras ditunjukkan Soi Lek dan Timbalan Presiden Gerakan, Datuk Chang Ko Youn.

Dalam PR pula, Guan Eng, dalam kenyataan disiarkan semalam, dengan nada lebih keras menegaskan, semua pemimpin kanan DAP akan letak jawatan jika Pas laksanakan hudud.

Amaran Ketua Menteri Pulau Pinang itu agak kebudak-budakan kerana mustahil baginya meletak jawatan hanya kerana tidak bersetuju dengan Pas sedangkan partinya menguasai 19 daripada 40 kerusi negeri yang dimenangi seratus peratus pada pilihan raya umum lalu, sedangkan Pas hanya mempunyai satu kerusi.

Justeru, ini boleh dianggap sandiwara semata-mata.

Pertelagahan Pas-DAP berhubung isu hudud sememangnya dijangka tidak lama. Kedua dua pihak boleh tunduk dengan mudah apabila berhadapan dengan Anwar dalam mesyuarat majlis pimpinan PR esok (Rabu). Kita tunggu dan lihat sahajalah nanti!

Namun kenyataan Presiden MCA yang secara tiba-tiba 'menyerang' Umno berkaitan isu hudud sebaliknya menunjukkan seolah-olah ada sesuatu yang terbuku di hati Soi Lek.

Ataupun paling tidak, beliau seperti mahu ahli partinya bersiap sedia jika ditakdirkan jodoh MCA dengan BN tidak kekal lama. Apa pun, sikap mahu jadi juara isu kaum dan agama seperti ini ketara masih menebal dalam kalangan pemimpin parti politik negara kita. Inilah sesuatu yang harus ditangani segera setelah keadaan nampaknya semakin memburuk selepas pengunduran Dr Mahathir pada 2003.

Dalam keadaan ini, Pas nampaknya paling selesa. Strategi Nik Aziz melontar isu hudud ke tengah gelanggang tatkala PRU-13 semakin menjelang, amat kena pada masanya.

Mereka sedang menghampiri pusingan terakhir bagi satu acara larian jarak jauh yang mana setiap pelumba perlu meningkatkan pecutan jika tidak mahu tewas!

Keputusan menggugurkan slogan negara Islam yang digantikan dengan 'negara berkebajikan' pada muktamar Jun lalu, menyaksikan ramai ahli Pas mulai ragu-ragu akan ketegasan pimpinan parti itu memperjuangkan Islam. Ini ditambah dengan sifat beralah yang jelas apabila berhadapan dengan DAP dan PKR.

Namun, lontaran isu hudud oleh Nik Aziz mampu melenyapkan keraguan itu. Ini ditambah dengan ketegasannya bahawa DAP boleh 'blah' jika tidak setuju dengan usaha Pas mahu laksanakan hudud.

Mengikut congakan politik, perang terbuka Karpal - Nik Aziz yang sedia diketahui bercanggah prinsip, akan menguntungkan kedua-dua pihak untuk menarik sokongan penyokong masing-masing. Ini berbeza dengan amaran MCA dan Gerakan terhadap Umno kerana hujah yang dibawa pemimpin dua parti itu tidak begitu kuat.

Nik Aziz kini boleh sahaja terus menggasak Kerajaan Pusat untuk membenarkan Kelantan melaksanakan undang-undang Kanun Jenayah Syariah (II) yang diluluskan DUN pada 1993, sehingga pilihan raya umum akan datang.

Beliau boleh memberikan sebab bahawa sokongan rakyat yang berterusan kepada Pas sejak 1990 adalah petunjuk mereka mahukan hudud. Jika mereka menolak, sudah tentu Pas tidak lagi jadi Kerajaan Negeri.

Dan apabila Perdana Menteri mengatakan Pusat tidak akan melaksanakan hudud, ini lebih menguatkan Pas dan Nik Aziz.

Apa yang harus dilakukannya ialah mentarbiah DAP untuk lebih memahami hudud. Begitu juga Umno, harus memahamkan MCA, Gerakan dan MIC serta rakan-rakan bukan Islam lain bahawa hudud bukan semata-mata hukuman potong tangan.

Jika itu tidak dilakukan, sampai bila pun kita tidak akan bersedia sebagaimana kata-kata Muhyiddin.

Harapnya, itu bukan hanya alasan kerana setiap orang Islam harus mempunyai niat dan keazaman untuk melihat undang-undang tuhan itu ditegakkan, tidak kira sama ada ahli Umno ataupun Pas. Itu bagi yang tidak berkuasa manakala bagi pemegang kuasa, mereka perlu berusaha melaksanakannya!

Pernahkah Tanah Melayu dijajah?

Posted: 26 Sep 2011 05:00 PM PDT

Di Malaysia, masa kini amat mewah dengan maklumat dan penghujahan. Sesetengah hal dibahaskan adalah biasa saja, tetapi sesetengahnya agak baru dan segar. Sesetengahnya menimbulkan kemarahan kerana terdapat hujah yang sensitif, manakala yang lainnya terasa sederhana. Saya akan bicara hujah yang heboh oleh sebab persekitaran dan kerana orangnya.

Profesor Datuk Zainal Kling pernah suarakan pandangan bahawa Tanah Melayu tidak pernah dijajah. Beliau bercakap dalam tahun 2009. Hal itu ditegaskannya dalam satu seminar di Ayer Keroh, Melaka. Saya berada dalam majlis itu tidak bangun beri pandangan, sama ada menyokongnya atau menentang. Orang lain ada bercakap, tetapi tidak bahaskannya hingga panas. Dapat dikatakan, hadirin menganggap Zainal beri pandangan tersebut sebagai satu tafsiran, bukan menolak apa-apa yang terjadi dalam masyarakat kita pada masa lampau.

Saya tidak mendengar Zainal bercakap tentang komunis. Beliau juga tidak menyanjung penjajah. Beliau menganggap pihak luar tidak menjajah Tanah Melayu selama 400 tahun seperti selalu disebut orang. Khusus berkaitan dengan British, beliau mengatakan Tanah Melayu pada masa lampau ialah sebuah naungan (protectorate), dan ini bukannya tanah jajahan (colony).

Tidak terdapat sesuatu yang keterlaluan dalam pandangan Zainal. Dalam tahun ini, Zainal ulangi pandangan itu. Para sarjana membicarakan pandangan Zainal dengan berpegang pada ilmu, tetapi sejumlah ahli politik menganggapnya satu gangguan. Pada masa ini, di sana sini orang membicarakan subjek sejarah, kerana mereka menganggap sejarah kita ditulis secara kurang memuaskan. Ada tokoh pembangkang mengatakan sejarah kita ditulis untuk menyanjung pihak yang menyokong kerajaan sekarang, dan mereka akan mengubahnya jika memerintah. Azam begitu tentulah tidak objektif, kerana dalam kerajaan akan datang (jika berlaku perubahan) sejarah akan ditulis untuk menyokong kerajaan baru pula.

Pada masa lepas saya menganggap sejarah adalah laporan yang benar-benar objektif - betul, tanpa pindaan biarpun sedikit. Dalam tahun 1973, setelah membaca buku Islam dalam Sejarah dan Kebudayaan Melayu karya Prof Syed Muhammad Naquib Al-Attas, saya sedar bahawa sejarah ialah catatan dan tafsiran perkara-perkara penting dalam masyarakat mengikut masa. Saya masih ingat pandangan Naquib, jika kesemua hal hendak dicatatkan, maka 'amat berlonggokan' bahan yang perlu kita baca. Jadi, kita perlu membaca perkara yang penting saja, dan sejarah bukan ilmu yang menyebut semua hal masa lampau.

Seterusnya, timbul masalah. Pertama, perkara yang dianggap penting oleh seseorang sejarawan, mungkin diketepikan oleh sejarawan lain. Kedua, setelah sesuatu peristiwa dipilih, sejarawan berikan tafsiran. Jadi tafsiran itu pula yang muncul sebagai unsur penting, bukan peristiwa berkenaan.

Dalam satu majlis ilmu, ketika membicarakan peranan wanita dalam perjuangan menentang penjajah, saya beri pandangan - peranan wanita tidak wajar diberikan tajuk besar. Jika dia berjuang, maka kita sebutkan dia berjuang. Saya sengaja hendak mengusik pakar sejarah terkemuka, iaitu Prof Datuk Ramlah Adam. Saya katakan begini: Dalam hal Sasterawan Negara, kita mencari sasterawan yang layak, tidak kira lelaki atau wanita. Kita tidak perlu risau jika sampai kini belum ada sasterawan wanita jadi Sasterawan Negara. Jika seseorang sasterawan itu layak, maka naikkan dia menjadi Sasterawan Negara, tidak kira dia lelaki atau wanita.

Ramlah jawab: sastera lain, sejarah lain. Saya akui sejarah tidak sama dengan sastera. Hal peranan wanita ditutup di situ, tetapi saya mula menekankan, ada perkara yang sama antara sejarah dengan sastera. Perkara itu ialah sama ada kita mentafsirkannya berpusatkan pihak A atau B. Pernah saya baca kenyataan seorang pembicara, dalam hal tafsiran, sejarah berada dalam minda sejarawan.

Pandangan Zainal telah menimbulkan kehebohan. Ada yang menyindir: apakah maknanya sambutan Hari Kemerdekaan jika kita tidak pernah dijajah? Apakah peranan Tunku Abdul Rahman jika Tanah Melayu tidak dijajah ketika itu?

Perkara yang disebutkan di atas ialah soal emosi. Tidak mungkin dengan penegasan Zainal, semua hal akan berubah dengan cara drastik. Zainal setakat ajak masyarakat memikirkan hal-hal tertentu, dan terus mencari fakta yang lebih mantap untuk bantu kita mentafsirkan sejarah.

Kita telah lihat tokoh Pas membuat tafsiran sejarah, dan beliau sedang hadapi kesan daripada tafsirannya itu. Masalah yang timbul di situ ialah siapakah yang bercakap? Biarpun persoalannya tafsiran, masyarakat melihat pemimpin politik tidak wajar membawa perkara sensitif untuk dipermudah. Sejarah hendaklah disuarakan oleh sejarawan, bukan politikawan.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved