Selasa, 13 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Freddie dijangka saksi bicara Anuar Zain

Posted: 12 Sep 2011 05:00 PM PDT

Freddie dijangka saksi bicara Anuar Zain KUALA LUMPUR - Presiden Karyawan, Datuk Freddie Fernandez dijangka akan memberi keterangan dalam perbicaraan taksiran royalti kes tuntutan saman penyanyi Anuar Zain di Mahkamah Tinggi, di sini.

Freddie yang hadir di mahkamah semalam memberitahu media, dia akan memberi keterangan selaku pihak yang berkecuali.

Menurut Freddie, keterangan yang diberi kelak dari sudut sebagai presiden persatuan yang memperjuangkan artis serta berkisar kepada keadaan semasa industri muzik di negara ini.

Beliau berharap dengan keterangannya bakal memberikan gambaran dan pengetahuan kepada artis mengenai hal berkaitan royalti.

Jelas Freddie, dia akan hadir semasa perbicaraan kes itu yang bersambung pada 20 September depan di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Nurul Nadzia Abdul Aziz.

Turut hadir di mahkamah semalam, peguam Aizul Rohan Anuar yang mewakili Anuar.

Pada 14 Mei tahun lalu, Anuar atau nama sebenarnya, Shahrul Annuar Zain , 41, berjaya dalam kes tuntutan saman balas bagi menuntut bayaran royalti daripada Syncrosound.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi di sini, Dr Prasad Sandosham Abraham turut memerintahkan Syncrosound membayar kos dan faedah lapan peratus ke atas jumlah royalti setahun bermula Jun 2006 kepada Anuar.

Ummi Hafilda tarik saman

Posted: 12 Sep 2011 05:00 PM PDT

Ummi Hafilda tarik saman KUALA LUMPUR- Ahli perniagaan Ummi Hafilda Ali semalam menarik balik saman fitnah RM100 juta difailkan terhadap bekas rakan perniagaannya dan pengendali laman berita Malaysiakini.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk V T Singham membatalkan writ saman itu selepas membenarkan permohonan peguam Zulhelmi Wagiman, yang mewakili Ummi Hafilda, untuk menarik balik saman itu dengan kebebasan untuk menfailkan semula.

Singham bagaimanapun memberi amaran kepada Ummi Hafilda sekiranya beliau ingin menfailkan semula saman itu buat kali ketiga, itu adalah peluang yang terakhir untuknya berbuat demikian.

Ini adalah saman yang kedua difailkan Ummi Hafilda terhadap Nor Azman Abdullah @ Baginda Minda dan Mkini Dotcom Sdn Bhd selepas saman pertamanya dibatalkan pada 13 April lepas oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datin Zabariah Mohd Yusof selepas peguam kedua-dua pihak tidak hadir ke mahkamah semasa kes itu disebut di hadapannya.

Hakim Singham berkata mahkamah tidak menggalakkan dan tidak akan melayan pihak yang menyalahgunakan mahkamah dan menasihati pihak yang ingin menfailkan sebarang tindakan supaya ia dibuat dengan teratur.

Zulhelmi menarik balik tindakan saman itu selepas pihaknya mendapati writ saman itu tidak teratur di mana nama Nor Azman yang dinyatakan dalam saman itu berbeza dengan namanya di dalam kad pengenalan dan saman itu juga tidak dihantar di alamat terakhir Nor Azman di Kapit, Sarawak tetapi dihantar ke alamat ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat di Petaling Jaya.

Beliau berkata, pihaknya dengan sukarela menarik balik saman itu tetapi tidak bersetuju sekiranya pihaknya membayar kos kepada Nor Azman.

Perkara mengenai nama yang berbeza dan alamat terakhir itu telah dibangkitkan oleh peguam Mohd Yusmadi Mohd Yusoff yang mewakili Nor Azman dan memohon sekiranya saman itu ditarik balik, pihak plaintif (Ummi Hafilda) membayar kos sebanyak RM5,000 kepada anak guamnya sebagai kos pengangkutan dan kos guaman.

Singham membenarkan kos RM5,000 yang dipohon oleh Mohd Yusmadi itu dilaksanakan selepas beliau membuat keputusan di akhir kes saman kali yang ketiga, sekiranya plaintif menfailkan semula saman itu.

Terdahulu, Mohd Yusmadi memohon supaya mahkamah menangguhkan kes itu kepada tarikh lain bagi membolehkan pihaknya mendapat laporan daripada Jabatan Insolvensi mengenai anak guamnya yang dilaporkan muflis.

Mohd Yusmadi juga memberitahu beliau menerima laporan daripada Jabatan Insolvensi mengenai Ummi Hafilda yang diisytiharkan muflis pada 1999.

Zulhelmi mengakui lapo-ran itu, tetapi pihaknya telah merujuk kepada jabatan itu sebelum menfailkan saman dan jabatan itu membenarkan Ummi Hafilda membuat tindakan berkenaan.

Semalam, mahkamah juga menetapkan untuk mendengar perbicaraan penuh kes berkenaan dan semua saksi bersedia di mahkamah namun mahkamah mempersoalkan mengapa Ummi Hafilda sebagai plaintif tidak hadir pada prosiding pagi itu.

Zulhelmi mengakui kesilapannya kerana beliau beranggapan bahawa semalam ditetapkan untuk mendengar permohonan sahaja dan bukannya untuk perbicaraan penuh saman itu.

Ketika prosiding bersambung semula setengah jam kemudian, Ummi Hafilda hadir ke mahkamah.

Dalam saman yang difailkan pada 25 April lepas, Ummi Hafilda mendakwa Nor Azman dalam satu temu ramah di lobi Parlimen, telah mengeluarkan kenyataan bersifat fitnah serta menyerangnya secara peribadi.

Ummi Hafilda mendakwa kenyataan Nor Azman itu dibuat untuk memalukannya dan berniat jahat seolah-olah beliau seorang wanita yang mempunyai banyak skandal serta amat tidak jujur, selain terlibat dengan bekas pembantu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu Mohd Saiful Bukhari Azlan, yang mengakibatkan pertuduhan liwat terhadap ketua pembangkang itu.- Bernama

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved