Ahad, 25 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Peruntukan RM30 juta bagi program transformasi kedai runcit

Posted: 24 Sep 2011 05:00 PM PDT

Peruntukan RM30 juta bagi program transformasi kedai runcit

BERA -- Sejumlah RM30 juta diperuntukkan di bawah Program Transformasi Kedai Runcit (Tukar) untuk tahun ini dalam usaha meningkatkan tahap daya saingan dalam persekitaran perniagaan peruncitan yang kompetitif.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sehingga lapan bulan pertama tahun ini sebanyak 300 kedai lama dan usang di seluruh negara telah berwajah baru dengan disediakan pelbagai kemudahan untuk tarikan pelanggan.

"Kedai-kedai itu membabitkan kedai runcit persendirian, kedai koperasi bengkel kereta dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis rumah terbuka dan Hari Raya anjuran bersama Pergerakan Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Bahagian Bera di Dataran Bera, di sini, hari ini.

Beliau berkata kos bagi membaiki dan menaiktaraf setiap kedai runcit ialah RM60,000 sebuah.

"Ada sesetengah kedai runcit yang dulunya lesu, kurang pendapatan akibat kekurangan pelangan kerana usang dan lama, tetapi sejak berwajah baru kini menjadi kunjungan utama pelanggan," katanya.

Ismail Sabri berkata pihaknya mensasarkan 500 kedai akan berwajah baru sebelum akhir tahun ini. -- BERNAMA

60 nelayan zon A rugi ratusan ribu akibat pencerobohan

Posted: 24 Sep 2011 05:00 PM PDT

60 nelayan zon A rugi ratusan ribu akibat pencerobohan

YAN -- Seramai 60 nelayan tradisional dari kawasan Kuala Dulang Kechil di sini buntu dan tertekan dengan masalah pencerobohan yang semakin berleluasa di kawasan tangkapan mereka hingga mengakibatkan kerugian ratusan ribu ringgit.

Nelayan-nelayan berkenaan turut memiliki permit pengusaha tuas (rumah ikan) sebagai kerja sambilan dengan menawarkan perkhidmatan pusat memancing kepada kaki pancing dari seluruh negara, tetapi pencerobohan itu turut memberi kesan kepada pusat memancing itu.

Shahidi Ismail, 40, berkata masalah pencerobohan itu berlaku secara serius sejak dua tahun lepas yang melibatkan nelayan komersial dari kategori Zon C yang sering menceroboh kawasan pantai sekaligus menyebabkan sumber laut berkurangan.

"Mengusaha tuas ini hanya kerja sambilan. Kami menangkap ikan untuk dijual. Sejak tahun 2009 hingga kini kami hidup dalam tekanan akibat sikap nelayan dari Zon C yang kerap kali menceroboh kawasan kami dan keadaan ini semakin kritikal sebab ikan sudah tidak banyak," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Shahidi berkata keadaan itu menyebabkan pendapatan harian mereka terjejas memandangkan pusat memancing yang dijalankan di kawasan Kuala Dulang Kechil itu kurang mendapat sambutan.

Shahidi berkata situasi itu berlaku kerana sumber ikan semakin kurang akibat eksploitasi oleh nelayan yang menggunakan pukat jerut mencuri ikan di kawasan tuas mereka.

"Sebelum ini, dari tahun 2004 hingga 2008 kawasan ini cukup terkenal dengan ikan tenggiri yang menjadi tumpuan orang luar untuk datang memancing yang mana dalam sehari secara anggaran kasar kami mampu beroleh pendapatan sebanyak RM30,000 terutama pada cuti umum. Sekarang ini hanya mampu dapat dalam RM10,000 sahaja," katanya.

Shahidi berkata setiap tuas mampu memperoleh sebanyak 12 tan ikan yang terdiri daripada pelbagai jenis dan nilainya dalam anggaran ratusan ribu ringgit.

"Kami telah mengemukakan masalah yang melanda kami ini kepada pihak atasan dan banyak laporan tentang hal ini diadukan tetapi masalah yang sama tetap berlaku. Kami sudah bingung tidak tahu tahu buat apa lagi," katanya.

Seorang lagi nelayan Jamaludin Shaari, 49, berkata dia mengharapkan pihak berwajib memandang serius masalah yang membelenggu mereka dan berusaha mencari jalan penyelesaian yang wajar bagi membantu mereka.

"Saya hanya harap duit dari kerja ini untuk bagi makan anak-anak. Kalau setiap kali ikan di kawasan saya kena curi macam mana nak dapat duit bagi makan anak dan isteri," katanya. -- BERNAMA

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved