Sabtu, 24 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Kakak timbalan menteri disamun

Posted: 23 Sep 2011 05:00 PM PDT

Kakak timbalan menteri disamun MASJID TANAH - Kakak seorang timbalan menteri bersama anak perempuannya berhadapan detik cemas apabila rumahnya di Paya Rumput dimasuki tiga pencuri malam Rabu lalu.

Dalam kejadian itu, Samidah Yusop, 73, dan anaknya, Rosiah Mansor, 56, diikat kaki dan tangan selama 19 jam dan dicederakan penjenayah terbabit.

Kakak sulung kepada Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Wira Abu Seman Yusop itu kemudiannya ditemui seorang adiknya bersama beberapa jiran dalam keadaan tidak bermaya, kira-kira jam 6 petang kelmarin.

Samidah berkata, ketiga-tiga pencuri berkenaan menceroboh masuk kediamannya kira-kira 11.30 malam, dipercayai menerusi tingkap bilik dengan membakar jenang besinya.

"Ketika pencuri itu masuk, saya hendak ke tandas untuk membuang air, sementara anak saya berada di ruang tamu," katanya kepada :Sinar Harian:, semalam.

Bagaimanapun Samidah tidak dapat mengingati sepenuhnya kejadian itu kerana masih dalam keadaan trauma.

Sementara itu, menurut jiran mangsa, Salina Abidin, 43, dia menyedari sesuatu tidak kena berlaku di rumah itu apabila Samidah yang lebih mesra dipanggil Mak Long tidak keluar rumah seperti selalu.

"Biasanya mangsa akan ke rumah adiknya dengan berjalan kaki. Disebabkan Mak Long tinggal berdua bersama anak perempuannya, jadi saya tidak terlalu bimbang sangat.

"Tetapi pada 6 petang semalam (kelmarin), adik Mak Long memberitahu, dia gagal hubungi telefon bimbit Mak Long menyebabkan kami terus syak sesuatu," katanya.

Salina berkata, mereka terkejut apabila mendapati grill hadapan rumah terbuka, manakala Samidah dan anaknya dalam keadaan terikat di bahagian dapur.

"Saya dan adik Mak Long serta beberapa jiran terus bantu melepaskan kedua-duanya sambil memeriksa keadaan sekeliling yang sudah berselerak termasuk dua bilik di dalam rumah itu.

"Makanan di dapur juga dikeluarkan dari almari. Kami lihat Mak Long sudah lemah kerana tidak makan selama 19 jam.

"Mak Long memberitahu dia dan anaknya dipukul penyamun terbabit, sebelum menyamun harta bendanya" katanya.

Kejadian itu juga menyebabkan Samidah patah pergelangan tangan dan mengalami kecederaan pada bahagian muka akibat ditumbuk.

Kedua-duanya dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut.

Difahamkan, pencuri terbabit melarikan seutas rantai emas dianggarkan bernilai RM15,000 bersama wang tunai RM3,000 yang diletakkan di dalam sebuah beg tangan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superitendan Umar Ali Saifuddin Shaharudin berkata, selepas menerima laporan kejadian itu, polis segera memburu suspek.

"Ketiga-tiga suspek lelaki berusia lingkungan 20-an itu berjaya diberkas polis kira-kira 4 pagi tadi (semalam)," katanya, semalam.

Umar Ali berkata, ketiga-tiga suspek diberkas dalam satu serbuan yang dijalankan di rumah mereka di Masjid Tanah.

"Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini (semalam) dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 atas kesalahan samun berkumpulan hingga mendatangkan kecederaan," katanya.

Panggilan dari Banting

Posted: 23 Sep 2011 05:00 PM PDT

Panggilan dari Banting

SHAH ALAM - Talian telefon didaftar atas nama firma milik bekas peguam, N Pathmanabhan dikesan ada membuat panggilan dan khidmat pesanan ringkas (SMS) dari Banting, pada malam empat individu termasuk Datuk Sosilawati dibunuh, tahun lalu.

Pakar Teknologi dari bahagian keselamatan Maxis Mobile Sdn Bhd, Ahmad Safuan Shaharani, 32, berkata, nombor yang didaftarkan atas nama Pathma Nalli & Patners itu menghantar SMS dan membuat panggilan daripada kawasan pemancar Batu Laut 2, Banting, masing-masing pada jam 7.53 dan 8.29 malam, pada 30 Ogos tahun lalu.

Menurutnya, beliau mengetahui panggilan itu berjaya dibuat kerana terdapat bayaran yang dikenakan bagi setiap panggilan dan SMS tersebut.

"(Kadar) panggilan adalah lima sen," katanya pada perbicaraan kes bunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsuddin, 47, peguam Ahmad Kamil Abd Karim, 32, dan pegawai Bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohamad, 38.

Dalam kes ini, Pathmanabhan, 42, dan tiga pekerjanya, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Kathavarayan, 31, didakwa membunuh kesemua mangsa di Lot No 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.

Ahmad Safuan berkata, selain mencetak perincian rekod panggi-lan dan SMS bagi nombor milik firma guaman Pathmanabhan, dia juga melakukan perkara sama terhadap tiga lagi nombor iaitu 012-XXXXXXX, 012-XXXXXXX dan nombor yang didaftarkan atas nama anak jutawan kosmetik itu, Erni Dekritawati Yuliana.

Ahmad Safuan yang juga saksi pendakwaan ke-46 seterusnya memberitahu Mahkamah Tinggi, nombor itu ada membuat beberapa panggilan di sekitar kawasan Subang Jaya, dekat sini, pada malam sama.

"Pada jam 9.55 malam, 30 Ogos 2010, nombor itu membuat panggilan kepada nombor 016-XXXXXXX selama 12 saat dan pemanggil berada di Subang Jaya.

"Pada jam 11.12 malam hari sama, nombor itu membuat panggilan sekali lagi kepada nombor sama ketika pemanggil berada di SS15 Subang Jaya ," katanya.

Saksi itu memberitahu, panggilan dari nombor sama terus ke peti pesanan suara pada jam 10.30 malam, dari SS12, juga di Subang Jaya.

Sebelum itu, beberapa minit selepas prosiding bermula, mahkamah tiba-tiba dikejutkan oleh bunyi tembakan meriam sempena Majlis Keberangkatan Pulang Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah selepas mengadakan lawatan rasmi selama tiga hari di Selangor.

Tembakan meriam yang dilepaskan di Dataran Dewan Undangan Negeri Selangor yang terletak bersebelahan dengan kompleks mahkamah itu menyebabkan satu mentol lampu berhampiran tempat duduk Hakim, Datuk Ahtar Tahir terjatuh.

Akhtar kemudiannya menangguhkan prosiding untuk seketika bagi memberi laluan sehingga tembakan sebanyak 21 das itu selesai.

Perbicaraan yang masuk hari ke-33 bersambung Isnin ini.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved