Sabtu, 17 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


RakanCop dan MyDistress

Posted: 16 Sep 2011 05:00 PM PDT

RakanCop dan MyDistress

RakanCop dan MyDistress, dua sistem berbeza tetapi mempunyai matlamat yang sama.

Matlamatnya hanya satu, menggalakkan orang ramai bersama-sama Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyalurkan maklumat untuk membanteras jenayah.

Bagi RakanCop, semua jenis telefon boleh digunakan di seluruh kawasan di dalam negara.

Berbeza dengan MyDistress, ia hanya untuk telefon pintar dan terhad di dalam Selangor sahaja.

Mengikut status terkini, seramai 445,747 ahli RakanCop berdaftar di seluruh negara dan seramai 32,970 ahli MyDistress berdaftar di Selangor sejak ianya diperkenalkan kepada umum, Ogos lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, melalui MyDistress, hanya dengan satu klik, orang ramai boleh terus menyalurkan maklumat kejadian jenayah yang berlaku.

Bagaimanapun, dua daripada mereka didapati tidak faham atau cuba menyalahgunakan aplikasi itu.

Berbicara lanjut kepada Sinar Harian, Tun Hisan berkata polis yang tiba selepas isyarat kecemasan dihantar mendapati dua individu itu mendakwa tidak tahu bagaimana mematikan sistem atau tersalah tekan.

"Polis kita memang cepat tiba di lokasi apabila isyarat kecemasan dihantar. Tapi janganlah salah guna, dan kita memberi amaran kepada mereka.

"Saya yakin orang yang guna pakai aplikasi ini dari kalangan terpelajar, kami tidak mahu dakwa sesiapa setakat ini. Sistem itu diketengahkan khusus untuk menyelamatkan orang ramai dan tangkap penjenayah," tambahnya.

Ia aplikasi terbaru yang direncanakan Polis Kontinjen Selangor dalam memastikan jenayah dapat dihalang.

Ulasnya, penggunaan MyDistress hanya ketika kecemasan contohnya, apabila berlakunya jenayah, seseorang yang disyaki melakukan jenayah ada berdekatan dan seseorang individu cedera, diugut atau dalam bahaya.

Ketika diminta menjelaskan kelebihan MyDistress berbanding RakanCop, beliau mengingatkan, dua sistem itu tidak seharusnya diperbandingkan.

Ini kerana dua sistem itu mempunyai kepentingan sama dalam memastikan jenayah dapat disekat bukan hanya di Selangor malah di seluruh negeri.

Mengapa perlu MyDistress?

Hari ini, jika kita ingin mendapatkan bantuan polis, kita perlu mendail 999 untuk memberikan maklumat dan lokasi.

Selalunya, keadaan menjadi sukar untuk memberitahu lokasi kerana mungkin kita berada dalam keadaan tertekan atau ketidakpastian lokasi kejadian.

Dalam keadaan terdesak, sukar untuk kita bercakap atau meminta bantuan kerana bimbang akan keselamatan diri.

Jadi, satu penyelesaian diperlukan untuk memudahkan proses ini dan menentukan lokasi dengan tepat.

Maka MyDistress hadir tepat pada waktunya untuk kita bersama-sama PDRM membanteras jenayah dengan menyalurkan maklumat hanya dengan satu klik.

Kelebihan MyDistress

Salah satu rintangan ketika meminta bantuan adalah halangan komunikasi.

Ketika berada di luar, kita tidak pasti lokasi sebenar kita berada. Hal ini menimbulkan masalah ketika bantuan hendak dihantar.

Ditambah dengan situasi cemas, komunikasi sering kali menjadi tidak jelas akibat trauma yang dihadapi.

Sebagai contoh, apabila berlakunya situasi seperti penculikan, di mana kita tidak dapat bercakap atau menunjukkan isyarat, kita akan gagal untuk memaklumkan kepada pasukan penyelamat dengan berkesan.

Melalui aplikasi ini, semuanya menjadi ringkas dengan hanya satu klik.

Bagaimana MyDistress berfungsi?

1. Tekan - Tekan butang HELP dalam kecemasan.

2. Kesan - Lokasi anda dikesan dan pihak polis dimaklumkan.

3. Tindakan - Pihak polis menerima maklumat dan lokasi semasa anda.

4. Selamat - Bantuan polis dihantar serta merta.

Melalui aplikasi "My Distress", orang ramai boleh menghantar isyarat kecemasan dengan menekan ikon pada telefon pintar, dan isyarat itu dihantar terus ke bilik gerakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor serta lapan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) antaranya:

1-IPD Shah Alam

2-IPD Subang Jaya

3-IPD Ampang Jaya

4-IPD Klang

5-IPD Kajang

6-IPD Gombak

7-IPD Petaling Jaya

8-IPD Serdang

Lapan kawasan tersebut dikenal pasti mempunyai kadar jenayah tinggi dan 50 buah kereta peronda polis dilengkapi GPS disediakan.

MyDistress turut dilengkapi dengan sistem pengesanan global (GPS) akan membantu polis mengesan individu yang menghantar isyarat ke lokasi berkenaan.

Fungsi MyDistress

Terdapat dua butang penting di dalam aplikasi ini iaitu menu dan status.

1-Butang Menu

Personal Alert – Mengemas kini lokasi masa sebenar secara automatik semasa berada di kawasan luar bangunan.

Preset Location Alert - Menambah lokasi hartanah, pejabat dan lain-lain untuk tindak balas yang lebih cepat, walaupun semasa anda berada jauh.

Profile - Mendaftar maklumat peribadi pengguna untuk menggunakan MyDistress.

Locator - Mencari balai polis yang terdekat dan laluan untuk sampai ke sana.

Helpline - Capaian pantas ke nombor kecemasan.

2-Butang Status

Mod siap sedia - Tekan butang untuk mengaktifkan isyarat kecemasan

Mod aktif - Polis akan dimaklumkan dan bantuan akan dihantar dengan serta-merta

Adakah sebarang bayaran dikenakan untuk perkhidmatan ini?

Sehingga penghujung tahun, yuran yang dikenakan adalah percuma dan bermula pada Januari 2012, yuran perkhidmatan sebanyak RM2 setiap bulan akan dikenakan.

Caj syarikat telekomunikasi mungkin dikenakan pada penggunaan data.

PDRM tidak menerima sebarang keuntungan dari MyDistress, segala caj yang dikenakan akan disalurkan untuk penyelenggaraan sistem dan penambahbaikan MyDistress.

Cara mendapatkan aplikasi MyDistress

Seperti yang dijelaskan, MyDistress hanya boleh digunakan pada telefon pintar sahaja.

Setiap individu yang berada di Selangor, boleh memuat turun aplikasi itu di mydistress.net dan mengikuti arahan yang diberikan.

Di laman itu juga menerangkan cara penggunaan secara manual untuk setiap pengguna.

Pengguna juga perlu meletakkan gambar di ruangan profil pada aplikasi itu dengan tujuan untuk memudahkan anggota polis mengenali anda sekiranya berlaku kecemasan.

87 dicekup dalam pesta liar

Posted: 16 Sep 2011 05:00 PM PDT

87 dicekup dalam pesta liar

ALOR GAJAH - Seramai 87 orang dicekup polis ketika asyik berhibur di parti liar pada malam sambutan Hari Malaysia di sebuah banglo dekat sebuah resort di sini, awal pagi semalam.

Kesemua mereka yang berusia antara 18 dan 35 tahun itu menyertai parti tersebut atas jemputan penganjur melalui laman sosial.

Antara yang ditahan dalam serbuan kira-kira 2.30 pagi itu adalah tujuh penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari daerah ini, Shah Alam dan Bangi, Selangor.

Mereka dipercayai berada di bawah pengaruh dadah serta minuman keras.

Menurut sumber, parti liar itu dianjurkan secara percuma dan bermula pada jam 10 malam.

Difahamkan empat pegawai dan 14 anggota polis, diketuai Inspektor Risikan/Operasi/Tahanan, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Negeri, Cif Inspektor Mohd Hisham A Rahman membuat serbuan itu kira-kira jam 2.30 pagi.

Disebabkan khayal dan mabuk, pengunjung parti itu tidak melarikan diri, sebaliknya hanya sekadar melihat pasukan polis menahan setengah daripada mereka.

"Hasil pemeriksaan, 15 orang, termasuk tiga wanita, didapati positif ganja. Dua daripada lelaki itu dikesan mengambil ekstasi dan seorang wanita mengambil syabu," katanya.

Menurut sumber itu, tujuh perempuan dan 12 lelaki dikesan memiliki dadah jenis syabu dan ganja.

"Terdapat juga pasangan yang sedang tidur berpelukan di bilik tidur tingkat atas banglo itu sebelum menyedari kehadiran anggota polis. Kedua-dua mereka dibawa ke Balai Polis Simpang Ampat, di sini, untuk ujian saringan urin," katanya.

Ketua Jabatan itu, Superintendan Md Azmi Othman, mengesahkan tangkapan dan memberitahu operasi dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Kesemua ditahan kini dalam proses mendapatkan perintah tahanan reman bagi siasatan lanjut. Seramai 53 pengunjung dibebaskan tanpa syarat," katanya.

Tinjauan Sinar Harian semalam mendapati banyak paket plastik kosong dipercayai bekas menyimpan dadah yang habis digunakan, dalam banglo yang lengkap dengan kolam renang itu.

Sebuah peralatan menghisap ganja turut ditemui dalam satu daripada lima bilik di banglo tersebut.

Terdapat botol minuman keras pelbagai jenama berselerak di bilik tidur dan ruang tamu yang turut menempatkan peralatan sistem audio dimainkan seorang deejay untuk memeriahkan parti berkenaan.

Satu paket kondom yang masih tidak digunakan juga dijumpai di luar pekarangan banglo itu, dipercayai dibuang pengunjung semasa serbuan.

Difahamkan, ketika parti tersebut berlangsung, penganjur berada di luar Melaka.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved