Khamis, 15 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Perihal superman Pulau Pinang

Posted: 14 Sep 2011 05:00 PM PDT

Persepsi umum mengenai Pulau Pinang sejauh melibatkan Gerakan dan Tan Sri Koh Tsu Koon ialah parti dan pemimpinnya bukan sahaja sudah tidak relevan kepada pulau itu, malah sudah menjadi sejarah masa silam yang tak perlu dikenang-kenangkan lagi.

Dalam masa hanya dua tahun Pakatan Rakyat ambil alih negeri itu, segala sumbangan BN kepada rakyat seperti sudah dilupakan.

Hakikatnya hari ini Pulau Pinang sudah tidak lagi dikuasai BN. Usaha DAP melalui Projek Tanjung 1 dan Tanjung 2 dalam beberapa pilihan raya umum lalu akhirnya jadi kenyataan dengan bantuan Pas dan PKR.

Tidak siapa duga jambatan Pulau Pinang yang dibina menghubungkan tanah besar dengan pulau kini sudah tidak lagi menjadi simbol kejayaan BN walaupun ia menjadi laluan utama.

Sewaktu idea pembinaannya mula diuar-uarkan, Tun Dr Mahathir Mohamed ialah Perdana Menteri manakala Ketua Menteri Pulau Pinang pula ialah Tun Lim Chong Eu. Bukan sahaja rakyat negeri itu menerima idea ini dengan baik, malah kepimpinan Gerakan di bawah Chong Eu juga cukup dihormati oleh pengundi Cina, Melayu dan bukan Melayu.

Pertumbuhan ekonomi dan pembangunan Pulau Pinang jauh mengatasi majoriti negeri-negeri Melayu seperti Kedah, Kelantan dan Pahang iaitu negeri yang melahirkan dua PM negara.

Pengundi-pengundi Cina dan Melayu tidak nampak DAP atau mana-mana pembangkang sebagai pejuang yang bakal diraikan. Malah ketika itu nama Kit Siang dan Karpal sekadar satu nama yang tidak memberi makna tidak seperti nama Chong Eu dan Koh Tsu Koon serta Tun Rahman Abbas, Datuk Abdullah Ahmad Badawi (sekarang Tun) dan juga Datuk Seri Anwar Ibrahim (ketika berada dalam Umno).

Keputusan pilihan raya 2008 memperlihatkan DAP buat pertama kali menggantikan BN sebagai parti pemerintah di Pulau Pinang dan anak Melaka, Lim Guan Eng (anak Kit Siang) yang bertanding di Dun Air Putih menang dan dilantik menjadi Ketua Menteri. Tsu Koon bukan saja gagal merebut kerusi Parlimen malah parti Gerakan yang dipimpinnya kecundang. Dalam sekelip mata Umno kehilangan sebuah kerajaan dan terpaksa pula duduk di barisan pembangkang sebagai pembangkang manakala Tsu Koon berada di Putrajaya.

Walaupun umum melihatnya sebagai tidak wajar diberi jawatan menteri, namun Perdana Menteri ada sebab untuk tidak ikut pendapat umum. Saya teringat seorang penulis menganggap dia seperti seorang superman yang tidak boleh terbang. Nampaknya apa pun konotasi superman – sama ada boleh terbang atau sebaliknya - terhadap Tsu Koon dalam konteks Pulau Pinang, ia nampaknya seperti sudah tidak berguna lagi. Masa berlalu hanya memperlihatkan Gerakan semakin hilang pengaruhnya di negeri itu.

Mujurlah beberapa hari lalu, Pulau Pinang dilawati oleh superman baru dalam bentuk PM Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri. Sebagai tokoh yang sudah masak dengan strategi politik, Najib memilih untuk membawa pendekatan 'sertailah ia apabila anda tidak boleh menawannya'. Najib merasakan tidak ada gunanya cuba mematahkan pengaruh DAP dan Pakatan Rakyat di Pulau Pinang dengan cara konvensional.

Justeru dalam majlis Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri-Merdeka di SMK Guar Perahu, Permatang Pauh, 11 September lalu yang turut dihadiri Guan Eng dan barisan Exco negeri, Najib berkata, "Kita mungkin ada perbezaan politik tetapi dari segi kepentingan rakyat Pulau Pinang, kita akan teruskan (pembangunan) tanpa dipengaruhi fahaman politik...." Kini, Kerajaan Persekutuan sedang membangunkan sebuah lapangan terbang baru ganti lapangan di Bayan Lepas yang sudah uzur, membangunkan Jambatan Kedua dan Empangan Mengkuang. Apakah DAP masih mahu bermain politik dengan mengatakan semua ini membazir?

Kita tunggu sahaja kiranya ada tokoh Melayu berkemampuan menjadi superman baru bagi penduduk pulau mutiara itu selepas Pilihan Raya Umum ke-13 kelak.

Antara kualiti, gagasan dan RM...

Posted: 14 Sep 2011 05:00 PM PDT

Menghasilkan sebuah novel bukan kerja mudah. Banyak perkara perlu diambil kira. Soal masa perkara utama, terutama kepada yang menjadikan menulis novel sebagai kerja sampingan.

Kepada yang menulis sepenuh masa pula, lebih banyak lagi tuntutan perlu diambil kira. Bayaran elektrik, ansuran rumah, kereta dan keperluan lain bukan perkara main-main. Memang hal RM dan pulangan hasil adalah perkara penting yang tidak boleh dikompromi langsung.

Kita tidak kecil hati apabila ada penulis yang sudah menjadi jutawan hasil daripada penulisan. Ada menerima bayaran lebih RM100,000 pada setiap kali royalti dikeluarkan bahagian akaun. Ini sudah dikira lumayan.

Ada juga yang sudah berhenti kerja untuk jadi penulis sepenuh masa dan terbukti hasil penulisan itu dapat membiayai keperluan kewangan mereka. Ini dilakukan tiga penulis di Grup Buku Karangkraf dan mungkin akan dicontohi beberapa penulis lagi.

Baru-baru ini seorang penulis berjumpa saya dan mengesahkan dia sudah pun menghantar surat memohon cuti bekerja selama setahun. Penulis itu benar-benar yakin dengan hasil penulisannya dia mampu menanggung keperluan kewangan keluarganya untuk tempoh selama mana dia bercuti bertugas itu.

Logiknya, jika dalam setahun dia mampu menulis satu atau dua novel yang meletup jualannya dalam pasaran, kami sebagai penerbit akan merasa keuntungan yang lebih. Oleh itu masakan tidak kami menyokong usaha beliau. Malah cetakan novelnya mencecah 50,000 naskah cetakan kali pertama. Ini bukan mustahil lagi, memang kerja menulis baginya bukan kerja main-main.

Saya memang angkat tabik kepada beliau dan percaya usahanya itu tidak sia-sia. Sebagai penerbit pula kami akan membantu dia melariskan jualan buku-bukunya dengan cara akan terus mempromosi dirinya dan karyanya. Sebagai penulis dia berjanji akan hasilkan lebih banyak lagi produk digemari peminatnya.

Apabila saya sudah lama tidak menghasilkan novel, paling akhir pada Mei 2010 ada ramai yang sudah mula bertanya mengapa dan mengapa? Adakah saya sudah menjadi terlalu sibuk? Adakah saya sudah diarahkan jangan menulis lagi sebab saya sekarang mengendalikan bahagian buku?

Atau adakah kerana buku saya tidak digilai oleh peminat-peminat? Saya tidak setuju kalau buku saya tidak digilai peminat. Ini kerana saya tahu siapa pengikut saya. Saya juga tahu mengapa mereka mengidam-idamkan karya terbaru saya.

Memang setiap penulis ada pengikutnya masing-masing dan perkara ini merupakan satu kelebihan kepada penulis berkenaan jika mereka tahu menggunakan beberapa kaedah pemasaran. Contohnya apabila saya mula menulis pada usia 16 tahun, semestinya peminat saya berusia lingkungan itu. Kini setelah melewati 40 –an, saya tidak boleh lagi menulis tentang cinta murahan. Karya saya mesti berubah.

Beberapa novel baru daripada pelbagai nama penulis memang sentiasa ada bersama saya. Atas meja kerja saya di rumah dan di pejabat, sarat dengan buku-buku untuk rujukan dan novel-novel daripada mana-mana penerbit. Semua itu adalah pemangkin bagi seorang penulis. Ia bagaikan kudapan apabila saya tercuai, terlalai atau termengantuk.

Saya mempunyai halangan yang tersendiri. Realitinya, inilah dialami oleh kebanyakan penulis establish dan mapan. setelah menghasilkan lebih 10 judul novel, saya sememangnya mahu terus menghasilkan karya terbaru. Namun ia terikat pada tahap dan mutu karya. Semestinya saya mesti menjaga peningkatan mutu dalam setiap karya terbaru. Ada ramai penulis yang menulis kerana dia suka menulis dan suka memaparkan cerita demi cerita. Padahal mutu karyanya sama sahaja seperti karya-karyanya sebelum ini.

Tiada pengingkatan. Tiada yang baru. Tidak ada kelainan. Ini bahaya. Saya tidak mahu jadi begitu.

Tidak ada maknanya jika saya terus menulis setiap tahun, sedangkan mutu penulisan masih lagi pada tahap lima tahun dulu. Atau tema cerita tidak sudah-sudah dengan kisah cinta remaja. Atau plotnya masih mendatar, tiada pembaharuan.

Sehari dua ini kita dihebohkan tentang novel Cinta Madinah karya Abu Hassan Morad yang ditarik balik daripada menjadi teks Komsas. Gagasan saya dan penulis Cinta Madinah adalah serupa. Kami mahu hasilkan karya yang ada peningkatan. Adalah tidak adil jika novel itu menjadi mangsa kerana karya Islamik yang penulis itu hasilkan telah dipertingkatkan daripada karya-karya beliau terdahulu.

Selain janji dan kontrak yang telah dinodai, penulis itu semestinya telah tercedera hati dan perasaannya.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved