Rabu, 14 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Tak sempat berpesta dadah

Posted: 13 Sep 2011 05:00 PM PDT

Tak sempat berpesta dadah SUNGAI UDANG - Empat anggota tentera dan seorang wanita berusia 43 tahun, antara 41 penagih dadah, ditangkap sebelum mereka sempat mengadakan pesta dadah di ladang kelapa sawit, Taman Sungai Udang, pagi semalam.

Anggota tentera berusia 25 hingga 29 tahun itu, adalah komando dan seorang lagi dari bahagian kejuruteraan di Kem Sungai Udang, manakala wanita terbabit adalah ibu kepada lima anak.

Lima lelaki turut ditahan kerana memiliki heroin dalam bentuk tiub dan paket.

Ops Tapis disertai dua pegawai dan lapan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) negeri, bermula jam 6.30 hingga 11 pagi, semalam.

Tinjauan Sinar Harian mendapati, sebahagian kawasan ladang dijadikan lokasi melepaskan gian sejak setahun lalu, dipenuhi paket plastik kosong untuk menyimpan bekas menyimpan heroin dan tiub daripada penyedut minuman baru dan lama digunakan untuk menagih dadah.

Beberapa jarum suntikan turut bertaburan di ladang terletak hanya 200 meter di belakang Penjara Sungai Udang.

Selain itu, sebanyak 10 helaian kertas dengan nombor telefon pembekal atau dipanggil 'tokan' dalam kalangan penagih turut dijumpai terselit di celah-celah pelepah pokok kelapa sawit di ladang tersebut

Menurut sumber, hasil awal ujian saringan air kencing, mendapati kesemua suspek berusia 18 hingga 57 tahun, positif dadah disyaki heroin.

"Hasil pemeriksaan juga mendapati, sebuah kereta jenis Honda dan tiga motosikal daripada 40 buah yang dirampas menyimpan dadah," katanya.

Sementara itu, Ketua JSJN negeri, Superintendan Md Azmi Othman ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan operasi yang diketuai Inspektor Risikan/Operasi/Tahanan JSJN negeri, Cif Inspektor Hisham A Rahman itu dilakukan hasil maklumat orang awam.

"Semua ditangkap disiasat mengikut Seksyen 31 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

"Sementara lima lagi disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Sindiket edar syabu terbesar lumpuh

Posted: 13 Sep 2011 05:00 PM PDT

Sindiket edar syabu terbesar lumpuh NILAI - Kastam berjaya melumpuhkan sindiket pengedaran dadah jenis syabu terbesar, setakat ini, ke negara ini, dari negara di Timur Tengah melalui kargo udara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dalam tempoh tiga minggu lalu.

Dadah seberat kira-kira 183 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM46 juta, disorokkan di bahagian bawah peti kayu, ditemui dalam dua operasi berasingan dilakukan anggota kastam Cawangan Narkotik ke atas dua premis di sekitar Kuala Lumpur.

Penolong Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Zainul Abidin Taib berkata, serbuan pertama ke atas sebuah premis kira-kira jam 1.30 petang, 27 Ogos lalu, menemui 10 peti kayu dan berjaya mengesan syabu yang disorokkan di bawah setiap peti kayu.

"Hasil pemeriksaan rapi, seberat kira-kira 94.15 kg, dengan anggaran nilai pasaran RM23.5 juta ditemui.

"Dipercayai semua peti kayu terbabit dihantar oleh individu dari negara sama melalui kargo udara dengan sebuah syarikat penerbangan dari Tehran, Iran ke KLIA dan diikrarkan kepada pihak kastam sebagai produk kraf," katanya di Pejabat Kastam Cawangan Narkotik di Kampung Jijan dekat sini, semalam.

Menurutnya, pihak kastam giat mengesan penerima barang terbabit untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Sementara itu, beliau berkata, serbuan kedua kira-kira jam 8.40 malam, kelmarin, ke atas sebuah premis di Kuala Lumpur, turut menemui 15 peti kayu mengandungi dadah disyaki jenis syabu dianggarkan bernilai RM22 juta dengan berat kira-kira 89 kg.

"Semua peti kayu terbabit dihantar seorang individu dari negara sama melalui kargo udara KLIA dengan sebuah syarikat penerbangan dari Doha, Qatar ke KLIA dan diikrarkan kepada pihak kastam sebagai pasu bunga," katanya.

Menurut Zainul Abidin, pihaknya mempercayai kedua-dua kes berkenaan mempunyai kaitan, berikutan modus operandinya sama.

Susulan dua serbuan itu, beliau berkata, pihak berkuasa telah menahan seorang lelaki warga Iran berumur 29 tahun dan direman 14 hari sehingga 26 September ini untuk membantu siasatan.

"Suspek disiasat di bawah Seksyen 39(B) Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabitkan kesalahan boleh dihukum gantung," katanya.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved