Sabtu, 10 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Pasangan kekasih terminum racun

Posted: 09 Sep 2011 05:00 PM PDT

Pasangan kekasih terminum racun SEREMBAN - Seorang pekerja kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), meninggal dunia dipercayai akibat terminum racun di sebuah rumah di Taman Bunga Sejati, Kampung Nyatoh, Rantau dekat sini, semalam.

Menurut jirannya, Suthir Babu, 26, kira-kira jam 8 pagi itu, mangsa, Muhammad Faizal Raj Abdullah @ A Soraj, 28, ditemui dalam keadaan terbaring di ruang tamu rumah terbabit.

Dia berkata, seorang gadis berumur 18 tahun, dipercayai kekasih mangsa turut ditemui dalam keadaan sama dan terbaring di atas dada Muhammad Faizal di tempat kejadian.

"Semasa baru pulang dari kerja, saya tiba-tiba terdengar bunyi dengusan kuat dari arah rumah disewa mangsa.

"Kemudian, saya pergi tengok, mereka dalam keadaan terbaring serta mulut berbuih," katanya di lokasi kejadian, semalam.

Menurut Suthir, dia dan seorang jiran lain, membawa Muhammad Faizal dan gadis itu dengan kereta milik mangsa ke hospital, namun kenderaan itu gagal dihidupkan.

Suthir berkata, dia menghubungi ambulans tetapi Muhammad Faizal disahkan meninggal dunia oleh petugas perubatan yang tiba.

"Gadis terbabit masih tidak sedarkan diri dan saya difahamkan, dia dibawa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) dekat sini untuk menerima rawatan," katanya.

Menurut Suthir, dua cawan plastik mengandungi cecair dipercayai racun serangga ditemui di ruang tamu.

Selain itu, katanya, terdapat sekeping nota di lokasi sama, menyatakan kekecewaan pasangan kekasih berkenaan, setelah hubungan mereka dihalang oleh keluarga.

"Dalam nota itu, turut tertera alamat dan nombor telefon keluarga mereka untuk dihubungi sekiranya mereka meninggal dunia, akibat racun terbabit," katanya.

Suthir berkata, Muhammad Faizal dipercayai menyewa di rumah berkenaan sejak tiga bulan lalu, namun jiran tidak mengetahui status hubungannya mereka.

Difahamkan, setakat petang semalam, gadis berkenaan yang dalam keadaan koma masih dirawat di HTJ dan keluarganya enggan mengulas lanjut tentang kejadian.

Muhammad Faizal dikatakan berasal dari Nilai, manakala gadis berkenaan yang juga anak bongsu dari tiga beradik berasal dari Sungai Pelek di Sepang, Selangor.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah, Superintendan Md Yusoff Awang, mengesahkan telah menerima laporan tentang kejadian yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan masih dijalankan.

Lelaki ugut cederakan anak

Posted: 09 Sep 2011 05:00 PM PDT

Lelaki ugut cederakan anak SUNGAI PETANI - Seorang lelaki ditahan, setelah cuba mengamuk menggunakan senjata di Kampung Telok Wang, Sungai Pasir kelmarin.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Ong Aik Cheang berkata, lelaki berusia 37 tahun itu, dipercayai mengugut untuk mencederakan anaknya, namun ditahan anggota polis setelah mendapat bantuan bekas isterinya yang berusaha untuk memujuknya.

Menurutnya, kejadian jam 4 petang hingga 10 malam itu, dipercayai berpunca daripada masalah keluarga.

"Setelah mendapat laporan, kami mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau rumah suspek. Ketika itu suspek berada di dalam rumah seorang diri.

"Tiga anaknya berusia antara lima hingga 10 tahun dipercayai dibawa keluar dari rumah terbabit dan ditempatkan di rumah saudara mereka," katanya.

Aik Cheang berkata, langkah berjaga-jaga diambil berikutan senapang patah dan sejumlah peluru yang bukan miliknya, dipercayai berada bersama suspek di dalam rumah berkenaan.

Menurutnya, bekas isteri suspek datang dari Perlis untuk membantu polis memujuknya dan lebih kurang setengah jam selepas itu, lelaki berkenaan keluar untuk bertemu bekas isteri di rumah berhampiran.

"Bekas isterinya menghubungi suspek menerusi telefon bimbit dan berjaya memujuknya keluar.

"Selepas suspek keluar, polis menahannya dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda untuk tindakan selanjutnya.

Aik Cheang berkata, sepucuk senapang patah dan sejumlah peluru dirampas dan kes itu akan disiasat di bawah Akta Senjata Api 1971.

Tinjauan Sinar Harian di tempat kejadian pada jam 6 petang kelmarin, mendapati, suspek berkurung di dalam rumahnya sehingga bekas isterinya tiba pada jam 9.15 malam sebelum ditahan polis pada 9.50 malam.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved