Khamis, 8 September 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Hajat tak kesampaian

Posted: 07 Sep 2011 05:00 PM PDT

Hajat tak kesampaian BUKIT MERAH – Hasrat sebuah keluarga meraikan kejayaan salah ahli keluarganya yang berjaya melanjutkan pengajian ke Universiti Utara Malaysia (UUM) bertukar tragedi selepas kenderaan yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan.

Kemalangan itu menyebabkan tiga maut manakala lapan lagi penumpang cedera apabila van persiaran yang dinaiki keluarga berkenaan terbabas di kilometer 186.6 Lebuh Raya Utara Selatan dekat Bukit Merah sekitar jam 5.40 pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan berkata, pihaknya mengesahkan kejadian yang melibatkan sebuah van persiaran dari Muar, Johor menuju ke Kedah untuk menghantar anggota keluarga mereka iaitu Nur Syuhaila Mohd Jamil, 19, yang akan mendaftar di hari pertama kemasukan UUM sebelum melanggar tembok berhampiran dan terjunam ke dalam parit.

Menurutnya, tiga mangsa yang maut di tempat kejadian ialah pemandu van, Chua Wee Chaur, 33, ibu Nur Syuhaila, Tukijah Esa, 59, dan kakaknya Norruhanizah Mohd Jamil, 34.

Sementara itu, tiga lagi mangsa mengalami kecederaan kritikal dan dihantar ke hospital Taiping ialah bapa kepada Nur Syuhaila iaitu Mohd Jamil @ Mohd Yammi Anuar, 68; abang Syuhaila, Mohd Nazir Mohd Jamil, 29, serta seorang bayi Alia Madiwa berusia 7 bulan setengah yang juga anak kepada Norruhanizah.

"Selain itu lima lagi mangsa yang cedera ringan dirawat di Hospital Parit Buntar termasuk Nur Syuhaila iaitu anak bongsu kepada Mohd Jamil.

"Mangsa yang lain ialah abangnya, Muhammad Faiduz, 27, patah kaki kanan termasuk dua abang iparnya Khairul Khafiza Isnin, 29, dan Mustafa Kamal Md Khairul, 38, serta kakak ipar, Liana Mat, 31," katanya dalam satu kenyataan kepada media, semalam.

Mat Fauzi berkata, ketika kejadian, van persiaran itu membawa 10 ahli keluarga untuk menghantar Nur Syuhaila yang bakal mendaftar masuk di UUM pada hari pertama.

"Namun hajat itu tidak kesampaian apabila pemandu van gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas dan terjunam dalam parit di kawasan Bukit Merah awal pagi tadi (semalam)," katanya.

Anak diugut keluar dari bilik

Posted: 07 Sep 2011 05:00 PM PDT

Anak diugut keluar dari bilik PASIR GUDANG – "Keluar, buka pintu kalau tidak aku bunuh bapa kau," itu jeritan penjenayah terhadap anak mangsa, V Deelip, 12, yang hanya mampu menyembunyikan diri di bilik di tingkat atas rumah selepas menyedari kejadian itu.

Dia yang sedang menonton televisyen di tingkat atas ketika kejadian terdengar bunyi bising di tingkat bawah dan kemudiannya turun untuk melihat apa yang terjadi.

Deelip mendapati beberapa orang lelaki sedang bergelut dan dia kemudian berlari naik ke atas untuk menyelamatkan diri namun disedari perompak terbabit.

"Mereka menjerit kepada saya menyuruh saya keluar dan jika saya tidak keluar mereka akan bunuh ayah saya," katanya.

Deelip yang bimbang, cuba untuk keluar tetapi gagal kerana tombol pintu gagal berfungsi, dia hanya menyedari kedua-dua ibu bapanya ditetak tidak lama selepas penjenayah melarikan diri.

Kanak-kanak berkenaan dibantu untuk keluar dari bilik itu oleh jiran tidak lama kemudian.

"Selepas penjenayah beredar, jiran datang membantu dan saya dapat lihat ibu dan ayah dalam keadaan berlumuran darah. ," katanya.

Ketika menceritakan kejadian tersebut, pembantu rumah mangsa yang hanya dikenali Rasati, 31, berkata, majikannya, S Vijayaratnam,47, sedang bersembahyang di halaman rumah sebelum penjenayah tiba-tiba muncul sambil mengacukan parang.

Rasati serta isteri mangsa, G Vijayalakshmi,45 bertindak menyelamatkan diri dengan menyembunyikan diri di dalam bilik air di tingkat bawah rumah sebelum penjenayah terbabit mengarahkan mereka keluar.

"Kami enggan keluar kerana takut dicederakan, penjenayah kemudiannya memecahkan pintu bilik air sebelum mengarahkan kami menyerahkan barang kemas serta menggeledah seluruh rumah.

"Penjenayah kemudiannya bertindak ganas dengan menetak kepala dan badan majikan (Vijayaratnam)," katanya.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved