Isnin, 29 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Usah pesong sejarah

Posted: 28 Aug 2011 05:00 PM PDT

Usah pesong sejarah SHAH ALAM – Beberapa pakar sejarah negara ini meminta pemimpin pembangkang tidak memutarbelitkan fakta sebenar tragedi Bukit Kepong pada 23 Februari 1950 kerana ia boleh mempengaruhi pemikiran masyarakat, khususnya golongan muda.

Profesor Datuk Dr Ramlah Adam(gambar) berkata, fakta mengenai sejarah tidak boleh dipesongkan hanya untuk kepentingan peribadi atau parti kerana ia adalah rakaman sebenar untuk tatapan generasi akan datang.

"Analisis perlu berdasarkan fakta, bukan berdasarkan emosi atau fahaman politik. Sekiranya kita benar-benar mengkaji sejarah, kita tidak sampai hati melabel mereka yang tidak layak sebagai pejuang bangsa dan negara.

"Dalam tragedi Bukit Kepong, Parti Komunis Malaya (PKM) dipimpin seorang berbangsa Melayu bernama Mat Indera. Dia tidak layak digelar pahlawan kerana berperanan sebagai kuda tunggangan dan tali barut komunis," katanya.

Ramlah berkata, walaupun dididik dengan latar belakang sekolah agama dan menjadi guru agama, namun Mat Indera 'terpukau' dengan fahaman Komunisme.

Beliau berkata, Mat Indera kemudiannya terbabit dalam politik apabila menyertai ahli sayap pemuda Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dengan matlamat membebaskan tanah air daripada jajahan Inggeris, malangnya perjuangan jauh terpesong.

"Ketika tragedi menyayat hati untuk menentang ratusan tentera komunis, banyak jiwa melayang, darah mengalir, ramai anggota polis terkorban. Balai Polis Bukit Kepong turut hangus.

"Dalam hal ini, siapa pahlawan sebenar? Pembangkang perlu kaji semula sejarah dengan ikhlas, jika baca dengan hati yang tidak ikhlas semata-mata untuk putar belit fakta atas dasar kepentingan politik," katanya.

Beliau turut menyangkal dakwaan sesetengah tulisan di blog yang mengatakan Mat Indera tidak menyerang, sebaliknya cuba melindungi dan menyelamatkan keluarga anggota polis setelah perjanjian asal serangan ke atas balai polis itu dimungkiri.

"Yang terselamat ketika itu, seorang polis bernama Yusoff Rono. Beliau berpura-pura mati sebelum menyelinap keluar untuk meminta pertolongan.

"Sebelum meninggal dunia, beliau telah diwawancara ketika berusia 84 tahun oleh sebuah akhbar tempatan. Saya sendiri membaca artikel yang diterbitkan pada 1950 itu," katanya.

Sementara itu, Profesor Emeritus Tan Sri D Khoo Kay Kim berkata, ini bukan kali pertama pemimpin pembangkang mengeluarkan kenyataan yang bertujuan memutarbelitkan fakta sejarah untuk kepentingan parti.

Menurutnya, semua kenyataan yang dikemukakan mengenai komunis tidak disertakan fakta sebenar, tidak berasas dan hanya berdasarkan imaginasi semata-mata.

"Ramai yang tidak faham mengenai ideologi komunis yang sangat kompleks seperti perkataan digunakan komunis di Indonesia, sama rata, sama rasa," katanya.

"Saya minta pihak yang mendakwa pengganas dalam Kompeni Pasukan Ke-4 Parti Komunis Malaya (PKM) layak digelar pahlawan kemukakan bukti sebelum berani berkata demikian," katanya.

Che Rosli sedia dikenakan tindakan

Posted: 28 Aug 2011 05:00 PM PDT

Che Rosli sedia dikenakan tindakan SHAH ALAM- Ahli Parlimen Pas dari Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat sedia berdepan tindakan disiplin oleh Pas Pusat sekiranya kenyataan beliau berhubung projek pembinaan loji nadir oleh Kumpulan Lynas di Gebeng, Pahang yang disiarkan dalam Buletin Utama TV3, baru-baru ini dianggap satu kesalahan dan melanggar perlembagaan parti itu.

Che Rosli berkata, beliau diminta memberi keterangan kepada Pas Pusat mengenai perkara itu selepas Aidilfitri ini.

"Saya diminta pihak berkenaan untuk beri penjelasan dan saya mengambil peluang ini untuk jelaskan perkara sebenar tentang isu ini.

"Selepas itu terpulang kepada mereka sekiranya mahu mengenakan tindakan disiplin ke atas saya atau tidak. Saya tiada masalah dan terima seadanya," katanya ketika dihubungi Sinar harian, semalam.

Tegasnya, kenyataan beliau di Buletin Utama itu hanyalah pandangan peribadi, tidak mewakili parti atau Pakatan Rakyat (PR).

"Sebenarnya saya diminta oleh Karam Singh (wartawan TV3) untuk memberikan pendapat saya sebagai saintis dan bukannya sebagai Ahli Parlimen Pas atau mewakili parti.

"Namun saya terkejut dan terkilan dengan apa yang disiarkan dalam laporan itu dan melihat isu ini sengaja disensasikan kerana mereka menggunakan jawatan saya dalam Pas sedangkan kenyataan saya itu bukan mewakili mana-mana pihak.

"Sebagai saintis yang sudah lama berdalam bidang ini, saya berhak memberikan pandangan saya dan saya tidak jangka perkara ini akan berlaku," katanya..

Susulan kenyataannya itu katanya, beliau telah didakwa 'dibayar' jutaan ringgit oleh pihak tertentu untuk mendedahkan perkara itu.

"Ini adalah fitnah dan saya anggap ini adalah sebahagian daripada perjuangan saya. Saya hanyalah ahli akademik bukannya ahli politik," katanya.

Terdahulu, Ketua Penerangan Pas Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya akan mendapatkan keterangan berhubung kenyataan Che Rosli, yang mengatakan Lajnah Penerangan Pas Pusat melarang beliau mengeluarkan kenyataan tentang nuklear terutama mengenai Lynas.

Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan sebarang larangan kepada Dr Che Rosli untuk mengeluarkan sebarang kenyataannya tentang nuklear termasuk berhubung dengan isu Lynas.

Mengulas mengenai perkara itu, Che Rosli berkata, beliau tidak akan mendedahkan siapa sebenarnya yang melarang beliau untuk membuat kenyataan mengenai isu tersebut.

"Sebelum ini saya pernah tawarkan kepada Pas Pusat untuk bentangkan hasil kajian mengenai projek Lynas ini tetapi tidak mendapat maklum balas daripada mereka.

"Jadi, tidak perlulah saya dedahkan siapa mereka itu (melarang buat kenyataan) dan terpulang kepada mereka untuk lihat isu ini," katanya.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved