Jumaat, 26 Ogos 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Terlupa zakat fitrah anak

Posted: 25 Aug 2011 05:00 PM PDT

Saya mula bayar zakat fitrah secara tunai sejak berhijrah ke KL pada 1994. Sebelum itu, di kampung, zakat fitrah dibayar guna beras.

Pada zaman kanak-kanak, saya tertunggu-tunggu hendak melihat orang dewasa bayar zakat fitrah. Seronok. Ini kerana, zakat fitrah masa itu biasanya dibayar terus kepada asnaf, tidak melalui amil. Di rumah asnaf, sudah siap beras fitrah yang diisi dalam bekas mengkuang.

Sebelum disempurnakan bayaran zakat, terlebih dahulu dilakukan akad jual beli beras. Beras dalam bakul mengkuang ditolak oleh si asnaf kepada pembayar zakat dengan akad jual: "Aku jual beras ini sebanyak harga" dan disambut oleh si pembayar zakat: "Aku beli beras sebanyak harga."

Selepas itu, bakul yang sama ditolak semula kepada si asnaf diiringi lafaz: "Inilah beras fitrah yang wajib ke atas diriku tahun ini kerana ALLAH TAALA." Si asnaf menyambut beras itu.

Selepas itu, berlaku semula akad jual beli untuk proses bayar zakat seterusnya, bagi tanggungan pula. Bayangkan jika seseorang itu punya dua isteri dan 10 anak, berapa kali bakul beras fitrah itu disorong tarik? Namun itulah tarikannya bagi saya untuk menyaksikan upacara itu.

Selain bawa wang ke rumah asnaf atau amil, ada juga yang bawa beras, tetapi ini agak menyukarkan. Bagi yang beranak ramai, mungkin hingga berbelas kampit beras perlu dibawa. Sekarang beras yang dikampit khas dalam sukatan zakat pun ada dijual. Ini lebih memudahkan berbanding dahulu.

Walau apa pun, bayar zakat di Lembah Klang jauh lebih senang. Di bazar Ramadan berhampiran rumah saya, sekurang-kurangnya empat amil di merata penjuru menunggu pembayar zakat. Dan caranya juga amat mudah, keluarkan tunai - tidak perlu bawa beras - dan urusannya boleh selesai dalam masa tiga minit sahaja.

Apa yang saya ingat, bayar zakat fitrah guna tunai pernah jadi pertikaian. Inilah masalahnya apabila undang-undang Islam yang sebenarnya universal dan relevan sepanjang zaman, ditadbir berbeza mengikut sempadan pemerintahan. Atas sebab itu juga, kadar zakat fitrah antara negeri tidak sama. Semoga masalah ini akan berakhir. Itulah doa saya setiap hari.

Beberapa tahun lalu, saya berasa amat jengkel apabila seorang rakan menggeleng-geleng kepala (baca: memperlekehkan) jawapan saya untuk soalannya: "Berapa zakat fitrah di Kedah?" Saya jawab: "RM5" Sambil geleng-geleng kepala, dia kata: "Mahalnya!"

Pada masa itu, zakat fitrah di Selangor memang lebih rendah. Kejengkelan saya kerana dia mempertikaikan bayaran zakat fitrah yang hanya perlu dikeluarkan sekali setahun sedangkan untuk sekotak rokok yang lebih mahal, tidak pula dirungut.

Jika sekalipun rakan saya itu bayar zakat fitrah di Kedah, belanjanya tidaklah sebesar mana kerana isterinya hanya seorang, anaknya pula tiga.

Keluar belanja sedikit untuk penuhi tuntutan agama pun merungut, apa punya orang? Seorang lagi rakan pula ceritanya agak lucu. Menjelang bulan puasa, rakan saya itu dapat anak baru - yang keenam. Makanya, tahun itu zakat fitrah yang perlu dia keluarkan pun bertambah.

Hendak dijadikan cerita, di rumah, resit fitrah yang baru dibayar, diperiksa isterinya. Terkejut si isteri apabila dapati resit hanya ada tujuh resit dalam poket suaminya, sedangkan yang sepatutnya adalah lapan termasuk untuk mereka suami isteri selain enam anak.

"Aku terlupa (bayar untuk) anak yang baru itu?" kata kawan saya. "Habis apa hang jawab kat bini hang?" tanya saya. "Aku terus ambil kunci kereta. Aku kata kat dia, tadi duit tak cukup nak bayar. Takkan aku nak jawab lupa." Berdekah-dekah kami ketawa. Seorang lagi kawan pula kata: "Nasib baik resit tak cukup. Kalau terlebih macam mana? Tentu bini hang soal lebih teruk lagi."

Ramadan yang penuh mencabar

Posted: 25 Aug 2011 05:00 PM PDT

Dalam mana lebih 1.6 bilion orang Islam sedang berpuasa Ramadan ini, puasa seorang pemimpin Hindu di India pula mendapat liputan media seluruh dunia. Anna Hazare mampu menggoncang kerajaan Manmohan Singh untuk melakukan perubahan dan bertindak atas rasuah berleluasa di India dengan melancarkan kempen tidak makan.

Namun, di beberapa negara di timur laut Afrika, 12 juta orang sebahagian besarnya Islam terpaksa berpuasa kerana mengalami kebuluran akibat kemarau terburuk dalam tempoh 60 tahun. Manakala orang Islam di negara lain boleh beriftar dan bersahur, majoriti penduduk di Djibouti, Somalia, Ethiopia, Kenya dan Uganda terpaksa berlapar selain diancam penyakit dan kurang zat makanan. Walaupun komuniti antarabangsa sedang menyalurkan bantuan kewangan dan makanan termasuk dari Malaysia, ancaman yang dihadapi mereka semakin meruncing dan kritikal. Di Somalia sahaja, kira-kira 30,000 kanak-kanak bawah umur lima tahun sudah meninggal dunia.

Berbeza pula di Dubai. Dilaporkan hampir 2,000 tan makanan lebihan dibuang sepanjang Ramadan ini. Kadar makanan yang dibuang meningkat 20 peratus berbanding bulan puasa tahun sebelumnya. Di Abu Dhabi, sebanyak 500 tan lebihan makanan, khususnya nasi dan makanan bukan sayuran, dibuang setiap hari ketika Ramadan.

Di Asia Barat dan Afrika Utara, pergolakan politik dan sosial masih berterusan. Krisis dalaman di Libya hampir mencapai kemuncak, manakala di Mesir, Syria dan Yaman pertembungan antara pelbagai golongan yang bertentangan belum reda. Perkembangan ini diikuti Bahrain, Maghribi dan Algeria dengan penuh kebimbangan.

Di Tebing Gaza, ramai yang mati minggu lalu kerana serangan bom tentera Israel, sehingga hubungan diplomatik negara Yahudi dengan sekutu Mesir (dan sebelum ini Turki) kini menjadi dingin. Pejuang Palestin, termasuk yang cilik, langsung tiada masa berfikir juadah berbuka atau bersahur, selain mempertahankan maruah agama dan bumi mereka.

Letupan bom juga telah mengakibatkan kematian ramai orang di Pakistan, Iraq dan Afghanistan. Ketika ratusan jemaah mengerjakan solat Jumaat di sebuah masjid di Khyber, Pakistan gegaran bom telah membunuh 50 jemaah dan mencederakan 100 orang lain. Di Kabul, sembilan mati dalam letupan di Pusat Kebudayaan British minggu lalu. Di Iraq, letupan bom berlaku hampir setiap minggu.

Di Asia, orang Islam Uighur di Xinjiang, China berada dalam keadaan tertekan kerana sering didiskriminasi. Beberapa pertembungan dengan pihak tentera dan kaum majoriti Han telah meragut banyak nyawa. Di selatan Filipina dan selatan Thai, pejuang Islam masih berperang dengan tentera kerajaan.

Di Eropah, wanita Islam di beberapa negara seperti Perancis dan Belgium tertekan kerana pihak berkuasa mengharamkan pemakaian burqa atau niqab sejak beberapa bulan lalu. Di Australia, sesiapa yang tidak membuka burqa atau niqabnya jika diminta berbuat demikian oleh polis, boleh dikenakan denda RM600. Dalam kes lebih serius, boleh didenda sehingga RM16,500 dan dipenjara setahun.

Di negara kita pula, beberapa kes berkaitan murtad tercetus pada Ramadan tahun ini. Banyak pihak tidak senang dengan proses kristianisasi yang nampak begitu agresif. Ahli pemikir Dr Chandra Muzaffar berpendapat, keharmonian kebebasan beragama yang wujud sejak Merdeka mula berubah sejak 1970an apabila proses urbanisasi orang Melayu menyebabkan penganut agama Islam berjiran dan lebih berinteraksi dengan penganut agama lain. Hasil interaksi ini menyaksikan lebih banyak perkahwinan campur, perceraian, masalah pertukaran agama anak-anak, hak penjagaan, kes murtad, status agama mualaf yang kembali ke agama asal, dan sebagainya.

Ini semua isu sensitif kerana ia membabitkan Perlembagaan, undang-undang serta akidah dan kedaulatan agama Islam. Pihak berwajib termasuk jabatan dan agensi kerajaan terbabit perlu menangani setiap kes dengan teliti dan berhemah bagi mengelak kontroversi. Dalam pada itu, pihak lain – gereja, media, persatuan agama, NGO – diharap tidak menyulitkan keadaan melalui tindakan atau kenyataan provokatif.

Ramadan akan berakhir beberapa hari saja lagi. Aidilfitri akan menjelang. Pada saat ini, fikiran saya adalah kepada lima adik beradik Melayu-Islam yang berada di sebuah gereja di Petaling Jaya kerana diletakkan di situ oleh bapanya sejak awal Ogos berpunca daripada satu masalah domestik yang kecil. Kes ini masih disiasat jabatan agama berkenaan, dan saya percaya akan ada kesudahannya. Harapan saya ialah agar anak-anak ini turut dapat menikmati hari raya minggu depan seperti anak-anak lain. Pasti mereka sedang mengharap begitu.

Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved