Khamis, 28 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Lif Taipei hanya cakap Mandarin

Posted: 27 Jul 2011 05:00 PM PDT

Di Taiwan keupayaan berbahasa Inggeris sahaja tidak cukup untuk kita berkomunikasi. Kehidupan harian jadi lebih mudah jika kita tahu Mandarin, bahasa utama di pulau dengan penduduk 23 juta itu.

Sebagai pelancong asing, terasa sukar walaupun hanya untuk mengenalkan diri, dan terpaksa menggunakan bahasa isyarat kepada Horlay, drebar yang menjemput saya sebaik mendarat di lapangan terbang.

Lidah Taiwannya menyebut 'Abdul Jalil' sebagai Apdin Jalin. Saya beritahu tidak payah sebut Abdul, cukup hanya Jalil. Mungkin lidahnya sukar untuk membunyikan L, maka berkali-kali dia menyebut Jalin, betul-betul kedengaran seperti jenama kicap popular di Johor.

Oleh sebab tidak mahudikicapkan, saya membuang nama dalam kad pengenalan, sebaliknya guna hanya nama ayah, Ali. Lidah mereka mudah sangat menyebut nama itu sebab bunyinya Ah Lee, nama yang paling biasa bagi orang China.

Maka sepanjang seminggu berada di negara itu, saya menjadi 'Mr Ah Lee'. Tak fasal-fasal terasa macam adik-beradik Bruce Lee, lagenda filem kungfu yang selalu picit hidung ketika sedang marah.

Lif hotel tempat menginap di Taipei, bercakap Mandarin, tidak ada terjemahan bahasa-bahasa lain, termasuk bahasa Inggeris. Saya mengagak sendiri apa yang dicakapkan, mungkin 'naik', 'turun', 'tingkat 17', blah-blah, blah.

Berbeza betul dengan kebanyakan lif di hotel-hotel besar di KL yang bercakap Inggeris 24 jam, tidak ada Bahasa Melayu walaupun ia termaktub dalam Perlembagaan sebagai bahasa rasmi sejak negara mencapai kemerdekaan 54 tahun lalu.

Tidak sahaja lif, Mandarin kelihatan di setiap ruang di bandar raya berpenduduk 2 juta itu. Papan tanda, iklan, poster, nama jalan, kenyataan awam dan sebagainya semua ditulis dalam bahasa Mandarin.

Sama ada tulisan sekecil ibu jari, atau sebesar pemeluk, semuanya Mandarin, tidak ada bahasa Inggeris. Hanya jenama tertentu seperti KFC, McDonald', Gucci menggunakan tulisan Inggeris.

Satu-satunya perkataan Melayu ditulis besar berhuruf jawi ialah Halal – kalaulah itu boleh diterima sebagai istilah Melayu tulen! Apa yang pasti, perkataan itu tidak ditujukan khas kepada orang Melayu, tetapi untuk memudahkan orang Islam mendapatkan makanan halal.

Ada beberapa restoran milik Pakistan, juga milik Islam Taiwan yang pamer logo 'Halal'. Salah satunya ialah 'Ali Baba Restaurant' di tengah-tengah kota Taipei yang saya kunjungi, dan beriani kambingnya menepati piawaian beberapa restoran mamak yang selalu saya kunjungi di KL.

Generasi muda Taiwan, terutama yang mendapat pendidikan Barat – kebanyakan dari universiti di Amerika Syarikat – boleh berbahasa Inggeris dengan baik. Inggeris kini diajar mulai peringkat sekolah rendah, malah Tadika.

Di hotel-hotel besar ramai kakitangan boleh berkomunikasi Inggeris, demikian juga petugas barisan hadapan di pusat-pusat beli-belah terkenal. Beberapa destinasi pelancong yang sempat saya kunjungi juga ada petugas boleh berbahasa Inggeris. "Generasi Taiwan akan datang pasti berpeluang meningkatkan bahasa Inggeris," kata seorang pegawai dari Pejabat Penerangan Kerajaan (GIO) yang menjadi pengiring, sekali gus penterjemah sepanjang lawatan saya.

Tetapi beliau amat yakin dalam apa juga urusan, Mandarin akan terus diutamakan selamanya tanpa mengira tahap mana keupayaan bahasa Inggeris generasi akan datang. Sekarang pun mereka yang mahir Inggeris akan utamakan Mandarin walaupun berhadapan dengan orang luar.

Mandy, pekerja sukarela setiap hujung minggu di sebuah muzium, ialah guru bahasa Inggeris. Tetapi ketika memberi penerangan selama lebih sejam kepada saya, wanita penuh santun itu guna sepenuhnya bahasa Mandarin yang kemudiannya diterjemahkan ke bahasa Inggeris oleh pegawai GIO.

Pengumuman awam di pusat-pusat beli-belah terkenal semuanya menggunakan bahasa Mandarin, tidak ada terjemahan bahasa Inggeris. Di tempat kita pengumuman mengenai anak hilang di pusat beli-belah pun guna bahasa Inggeris walaupun yang hilang itu namanya Minah binti Mamat dan bukan 'Albert Bush' atau 'Angela White'.

Orang Taiwan mengakui kepentingan bahasa Inggeris, tetapi mengekalkan Mandarin di mana sahaja dalam kegiatan harian. Di tempat kita bahasa Melayu semakin diketepikan. Salah siapa?

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.

Liga Melayu: UMNO FC vs Pas FC

Posted: 27 Jul 2011 05:00 PM PDT

Sok sek tarikh pilihan raya umum ke-13 nampaknya semakin menjadi-jadi. Masing-masing beri anggaran tarikh menurut analisis peribadi. Sesetengah mencadangkan Parlimen dan DUN semua negeri kecuali Sarawak dibubarkan selepas sambutan Aidilfitri. Tidak kurang merasakan akan berlaku selewatnya Mac tahun depan.

Apa pun, nampaknya pengikut parti pembangkang lebih taksub bincangkan hal ini berbanding penyokong UMNO. Bagi UMNO, ia mungkin agak kurang disebut kerana BN yang menguasai Kerajaan Persekutuan dan sembilan Kerajaan Negeri tidak perlu terlalu gopoh membuat keputusan kerana mandat lalu masih sah sehingga Mac 2013.

Sebenarnya pelbagai perkara berlegar di minda pemikir politik dan perancang strategi pilihan raya pembangkang, terutamanya parti bukan Melayu dan yang berasaskan pelbagai kaum seperti PKR untuk menggambarkan kononnya tahap demokrasi di negara ini rendah. Ada pula yang cuba menulis dalam blog atau dalam penerbitan tertentu dan menghujahkan kononnya demokrasi telah mati di Malaysia.

Hal-hal seperti ini begitu rancak dibincangkan oleh mereka selepas pilihan raya umum ke-11 pada 2004 apabila BN mencatat sejarah kemenangan cemerlang di peringkat Parlimen apabila bertambahnya jumlah kerusi Dewan Rakyat dan di peringkat DUN - berjaya menawan semula Terengganu dan hampir-hampir mendapatkan kembali Kelantan.

Ketika itu antara topik hangat perbincangan juak-juak dan puak ini ialah Malaysia sepatutnya amal sistem dua parti seperti sesetengah negara maju. Maknanya kalau boleh cuma ada BN dan Pakatan sahaja. Mungkin bagi mereka berpendidikan tinggi ini, sistem dua parti adalah jawapan kepada politik Malaysia yang sentiasa dengan isu tidak berkesudahan.

Seperti diketahui, Malaysia negara paling unik, di mana segenap lapisan rakyatnya tidak henti bercakap tentang politik dari satu tarikh pembuangan undi kepada tarikh pembubaran Parlimen dan DUN selanjutnya.Apa lebih menarik lagi kebanyakan penceramah tidak rasmi politik ini kalangan orang Melayu, sama ada daripada parti UMNO Pas.

Pertentangan kedua golongan Melayu dan Islam yang terpisah oleh ideologi berbeza inilah yang kini dilihat dieksploitasi golongan tertentu yang bercita-cita dan sedang sedaya upaya menerusi pelbagai taktik untuk meletakkan noktah kepada dominasi kuasa politik Melayu di Malaysia.

Bagi golongan ini, mereka mencipta atau guna isu tertentu dan membesar-besarkannya dengan cara cukup meyakinkan betapa kerajaan bertonggakkan kuasa politik Melayu yang ada kini sudah terlalu bobrok dan menyimpang dari apa juga amalan dan prinsip sepatutnya.

Walaupun mungkin tidak sampai lima peratus apa yang diperkatakan itu adalah benar, namun orang Melayu nampaknya begitu mudah menyerah kepada segala dakyah golongan ini.

Hal ini bukan kebetulan, tetapi telah dihitung secara teliti setelah mengambil kira kelemahan purata orang Melayu, terutama yang berada di barisan depan selaku penyokong dan ahli, sama ada UMNO atau Pas. Hal ini bukan sahaja terserlah kalangan mereka yang disebutkan ini, tetapi turut merangkumi intelektual Melayu yang sama ada memainkan peranan dalam membina pemikiran politik orang Melayu atau selaku pemimpin parti.

Sebagai contoh, ketika menulis belasungkawa seorang pemimpin Pas yang meninggal dunia baru-baru ini, tokoh yang dianggap berada di saf depan dalam mencerna pemikiran orang Melayu ini dengan panjang lebar memuja pemimpin Pas berkenaan kerana begitu lama berjuang dalam Pas. Namun apa yang ketara tidak terdapat dalam tulisan tersebut ialah tentang dasar utama yang disokong dan dipertahankan pemimpin yang meninggal itu.

Perkara semacam ini sebenarnya bukan sahaja berlaku dalam kalangan penyokong dan ahli Pas, tetapi penyokong dan ahli UMNO juga. Bagi penyokong dan ahli dalam kelas ini, dasar dan ideologi parti serta dasar dan prestasi kerajaan yang diperintah parti berkenaan bukan penting untuk diambil kira dalam memberikan sokongan.

Walaupun ada ketika tertentu, sokongan terhadap parti ini diberikan berdasarkan ketaksuban kepada pemimpin, tetapi rata-rata orang Melayu sokong parti politik mereka, termasuk penyokong PKR, ibarat peminat sukan bola sepak menyokong dua pasukan Liga Perdana Inggeris.

Maknanya kalau UMNO itu boleh dianggap Manchester United maka Liverpool FC pula sebagai Pas (walaupun berjersi merah) dan mungkin PKR seperti Fulham FC yang baru dinaikkan pangkat dari division lebih bawah. Masing-masing sokong pasukan yang diminati tanpa sebab, tanpa logik dan tanpa rasional walaupun mereka sanggup bersinseng lengan dan bertumbuk hanya kerana itu.

Begitulah yang terjadi dalam kalangan penyokong politik Melayu hari ini.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved