Isnin, 25 Julai 2011

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
Sumber Asal Berita :-

Sinar Harian :: Suara Cakna Anda


Jangan jadi talam dua muka

Posted: 24 Jul 2011 05:00 PM PDT

Saya membaca berulang kali laman web Malaysian Insider, Malaysiakini dan Harakahdaily akan pendirian tegas kerajaan Pas Kedah untuk menutup semua premis hiburan ketika Ramadan. Tidak timbul media tersebut salah melaporkan kerana ia media pro pembangkang, bukannya media UMNO Barisan Nasional. Saya yakin tidak salah dan kabur mata ketika membacanya.

Asalnya saya amat kagum dengan tindakan kerajaan Pas Kedah. Saya ingatkan mereka akan mempertahankan tindakannya itu. Tetapi telahan saya meleset, Pas tunduk dan sekali kow tow kepada ultra kiasu. Alangkah kecewanya hati ini.

Apabila penentangan bertalu-talu dilakukan oleh parti ultra kiasu, tiba-tiba pimpinan Pas bermesyuarat dan mengatakan bahawa media tersalah lapor. Saya semakin pelik dan hairan, permainan silap mata apakah ini? Sekejap boleh, sekejap tidak, sekejap ada, sekejap tiada.

Larangan melakukan maksiat pada bulan puasa ada baiknya, dan tidak kurang implikasi buruknya. Seolah-olah dalam Islam, Ramadan sahaja yang perlu jadi baik, 11 bulan lain tidak atau ringkasnya Ramadan bulan ibadat, bulan lain bulan maksiat. Akhirnya nanti, agama Islam akan dianggap sebagai agama dua alam. Agama yang ada ketika boleh melakukan maksiat, ada ketika lain tidak boleh. Apakah makna semua ini? Saya harap kita tidak menjadi orang jahil dalam memahami Islam.

Saya amat hairan kenapa kita masih lagi tidak dapat menangkap tindak-tanduk ultra kiasu. Mereka tidak akan tunduk kepada sesuatu yang merugikan mereka walaupun perkara tersebut bercanggah dengan agama anutan mereka. Agama diletak ke tepi. Tetapi demi survival bangsa, mereka tetap bersatu. Tidak kiralah bilangan mereka ramai atau sedikit, yang penting 'hak' mereka tidak boleh diusik langsung.

Saya mengambil pendirian pada awalnya menghormati tindakan Pas dan tidak berhasrat untuk menyindirnya, begitu juga dengan UMNO. Ketika mana Pas berada di luar kerajaan, mereka begitu lantang mengkritik UMNO, itu tidak betul, ini tidak betul. Namun, apabila berada dalam kerajaan (membentuk kerajaan), begitu banyak dolak-dalik dan saling salah menyalah berlaku. UMNO dijadikan batu galasan.

Saya teramat ingin melihat apabila Pas memerintah, mereka akan membetulkan apa yang tidak betul. Ini tidak, keputusan mereka macam yoyo, sekejap begini, sekejap begitu. Kenapa perlu takut kepada ultra kiasu jika berada di pihak yang benar? Bukankah ini perjuangan Pas?

Parti ultra kiasu berkeras untuk keluar perikatan tiga tahun Pakatan Rakyat ekoran isu penguatkuasaan penuh enakmen melarang operasi pusat-pusat hiburan di Kedah ketika Ramadan. Jika saya boleh mewakili Pas maka saya dengan tegas akan menyatakan, "silakan keluar".

Isu hiburan yang melampau bukan isu agama Islam semata-mata, tetapi adalah isu semua agama, Bacalah apa jua ajaran dan ajaran agama-agama di dunia ini. Tunjukkan pada saya bahagian manakah yang mengatakan hiburan melampau itu dihalalkan? Jika ultra kiasu menentang perlaksanaannya di Kuala Lumpur, Ipoh dan pusat bandar lain yang dikuasai mereka, nampaklah juga logiknya, disebabkan oleh mereka ramai.

Tetapi mereka hanya sekelumit di utara dan Pantai Timur. Hak apakah yang mahu dipertahankan? Jika hiburan melampau (termasuk arak, judi dan zina yang terdapat dalam premis hiburan) itu dibolehkan, selepas ini suruh anak kita berhibur puas-puas sehingga ke pagi. Tidakkah kita sedar semua premis ini menjadi penyumbang kepada kegawatan sosial hari ini?

Menurut pemimpin ultra kiasu Kedah; "Jika pusat hiburan ini ditutup maka habislah mata pencarian. Lagipun dalam Islam juga ada mengatakan hak orang bukan Islam juga harus dijaga dan saya harap perkara ini tidak berulang lagi. Kerajaan Negeri harus mewujudkan satu badan pemantau sekiranya mahu memastikan orang Islam tidak memasuki pusat hiburan seiring dengan penguatkuasaan Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997. Badan pemantau itu boleh ditubuhkan di bawah agensi agama negeri seperti pasukan pencegah maksiat".

Saya harap Kerajaan Negeri Kedah dan umat Islam tidak terpedaya dengan idea licik ini. Jika kita sediakan pasukan pemantau atau penguat kuasa, bermakna kita telah mengiktiraf dan membenarkan maksiat yang ditentang oleh semua agama ini.

Pusat hiburan kini telah menjadi tiga dalam satu, di situlah adanya hiburan melampau, aksi-aksi panas, perjudian, pelacuran dan sebagainya. Apakah tindakan menarik balik larangan operasi pusat hiburan benar-benar memenuhi dan menepati hak bukan Islam atau sebaliknya? Apakah tindakan kita dapat dikategorikan mencegah mungkar atau menambah lagi kemungkaran? Sama-sama kita fikirkan.

Jangan jadi talam dua muka.

Full Feed Generated by Get Full RSS, sponsored by Used Car Search.
Kredit: www.sinarharian.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Sinar Harian

Copyright 2010 All Rights Reserved